Isnin, 22 Ogos 2011

BN, Pakatan perleceh Kita di Selangor

"Kita tidak sesuai bertanding di Selangor. Sepatutnya bertanding di tempat lain iaitu negeri yang sedang membangun bukannya di Selangor," katanya.



PETALING JAYA: Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (Kita) bukan ancaman kepada Pakatan Rakyat dan Barisan Nasional (BN)dalam pilihan raya akan datang khususnya di Selangor, kata pemimpin kedua-dua parti itu hari ini.

Pakatan Rakyat dan BN berpendapat Kita pimpinan bekas orang kuat Umno Datuk Zaid Ibrahim akan kalah teruk di Selangor.

Timbalan Ketua Penerangan AMK Pusat, Rozan Azen Mat Rasip menegaskan, “sukar parti baru seperti Kita untuk menang terutama dengan nama-nama calon yang tidak dikenali.

“Saya tidak nampak Kita akan menjadi ancaman kepada Pakatan Rakyat,” katanya.

Beliau mengulas keputusan Kita yang hanya menumpukan untuk bertanding di Selangor dan Kelantan sahaja dalam pilihan raya umum akan datang.

Keputusan tersebut diumumkan Zaid.

Menurut Rozan, Pakatan Rakyat akan terus mendapat mandat rakyat dalam pilihan raya umum ke 13 nanti.

“Walaupun baru tiga tahun memerintah Selangor pelbagai projek rakyat dibuat di negeri itu.

“Berbanding BN, Pakatan Rakyat lebih ke depan dalam melaksanakan projek yang telus untuk rakyat.

“Satu lagi ialah penyokong Pakatan Rakyat tidak mengutamakan peribadi calon tetapi mengutamakan parti,” tambahnya.

Bekas Ketua Pemuda Umno Selangor, Datuk Suhaimi Shahadan memberitahu, tidak nampak Kita mempunyai peluang untuk menang di Selangor.

Katanya, di Selangor hanya parti politik yang besar boleh bersaing sesuai dengan status negeri maju.

“Kita tidak sesuai bertanding di Selangor. Sepatutnya bertanding di tempat lain iaitu negeri yang sedang membangun bukannya di Selangor,” katanya.

Suhaimi berkata, saingan sebenar di Selangor ialah antara BN dan Pakatan Rakyat.

Tiada ulasan: