KUALA TERENGGANU - Dasar dan perjuangan PAS sejak dahulu hingga sekarang tidak melindungi sesiapa pun yang berusaha memurtadkan orang Islam.
Malah, kata Setiausaha Agung PAS, Dato’ Mustafa Ali, sejarah lalu dalam beberapa isu sensitif seumpama itu dijuarai oleh PAS termasuk kes murtad.
Oleh itu beliau menegaskan, PAS tidak akan berkompromi dalam isu menjaga aqidah umat Islam.
“Bagi kita, perkara berkait dengan aqidah ini sudah mesti perjuangan PAS sejak dahulu hingga sekarang. Bahkan, sejarah lalu dalam beberapa isu sensitif yang berkait dengan Aishah Bukhari dan lain-lain itu, kitalah yang menjuarainya.
“Sikap PAS ini kita tidak akan melindungi sesiapa pun yang berusaha untuk memurtadkan orang Islam. Ini kita (PAS) tidak ada berkompromi sama sekali,” tegasnya pada sidang media di Pejabat Perhubungan PAS Negeri Terengganu, 15 Ogos.
Beliau berkata demikian ketika mengulas isu kontroversi Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dengan pihak Gereja Methodist, Damansara Utama, di Petaling Jaya pada 3 Ogos lalu yang menimbulkan pelbagai tafsiran tentang operasi yang dilakukan itu.
Menurutnya, isu murtad bukan perkara baru tetapi telah berlaku sejak berpuluh tahun lalu di negara ini.
Beliau turut mempersoalkan apa yang kerajaan Umno dan Barisan Nasional (BN) buat selama ini bagi membendung kegiatan tersebut.
Katanya, semua negeri mempunyai masalah tersebut tetapi tidak ada langkah-langkah pencegahan dibuat oleh kerajaan.
“Ini sudah berpuluh tahun berlaku dan bukan ‘benda’ (perkara) baru. Apa yang kerajaan Umno-BN buat selama ini untuk membendung kegiatan murtad ini. Semua negeri ada masalah ini tetapi tidak ada pun langkah-langkah dibuat membendungnya.
“Ianya (murtad) bukan sahaja bercanggah dengan prinsip Islam, malah dalam Perlembagaan Malaysia pun tidak mengizinkannya.
“Jadi satu kesalahan seseorang itu hendak memurtadkan atau ‘dakyah’ yang cuba hendak tarik orang Islam supaya keluar daripada agama (Islam) ini,” jelasnya.
Sehubungan itu, Dato’ Mustafa menggesa agar Jais mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang bertanggungjawab berusaha memurtadkan orang Islam.
Ini kerana, katanya Enakmen Jais boleh bertindak mendakwa jika ada bukti dan Perlembagaan Malaysia juga menghalang kegiatan tersebut.
“Jika Jais ada maklumat itu, kita (PAS) minta supaya Jais melakukan tindakan undang-undang dan mendakwa orang-orang yang dikatakan bertanggungjawab dan berusaha hendak tarik orang Islam ini keluar daripada Islam.
“Enakmen Jais jelas dan dia boleh bertindak. Perlembagaan Malaysia jelas orang tidak boleh berbuat demikian. Ini yang perlu dilakukan oleh Jais jika dia mempunyai bukti-bukti tersebut,” tegasnya.
Namun begitu, katanya seolah-olah terdapat campurtangan politik pihak tertentu dalam menangani isu kontroversi antara Jais dengan Gereja tersebut.
“Saya difahamkan juga dari maklumat dan sumber ini bahawa memang sengaja Jais menangguh-nangguh dan melewat-lewatkan ini supaya isu ini menjadi isu politik. Dia (isu) ada latar-belakang dan matlamat politik dalamnya.
“Kita (PAS) tidak pernah mempertikaikan kewujudan institusi agama seperti Jais ini ialah bertujuan untuk menjaga dan mempertahankan apa yang menjadi tanggungjawab sesebuah kerajaan itu yang berkait dengan soal agama. Dan sepatutnya, institusi ini bebas dari campurtangan politik,” ujar Dato’ Mustafa.
Hadir sama pada siding media itu, Pesuruhjaya PAS Terengganu, Mohd Abdul Wahid Endut, Setiausaha PAS Terengganu, Yahaya Ali dan Penolong Setiausaha PAS Terengganu, Zakaria Dagang.
Selasa, 16 Ogos 2011
Aqidah adalah dasar dan pejuangan PAS; tidak kompromi!
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan