Selasa, 19 Julai 2011

Usahawan Melayu kesal dengan KM Melaka

Elissa Helmy


Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (Ikhlas) kecewa dengan kerajaan negeri Melaka yang gagal memberikan kerjasama di dalam menangani beberapa masalah peniaga kecil bumiputera di negeri itu.

NONEPresidennya, Mohd Redzuan Abdullah (kanan) berkata, keengganan itu telah mendorongnya membawa perkara tersebut ke pengetahuan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Beliau mendakwa, sehingga kini terdapat 890 kes membabitkan peniaga kecil bumiputera di Melaka didakwa gagal diselesaikan oleh kerajaan negeri yang meliputi pelbagai masalah.

Menurutnya, antara lokasi yang menjadi pertikaian kini termasuklah peniaga sekitar gerai milik Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) bersebelahan bangunan Hatten Square di Banda Hilir, peniaga di Taman Mini Malaysia dan Taman Buaya.

Jelasnya, kerajaan negeri Melaka tidak serius di dalam menangani masalah mereka apatah lagi terus mengabaikan soal kebajikan peniaga terlibat dan hanya semata-mata ingin memastikan projek pembangunan yang dirancang terlaksana.

NONE"Kami melihat tindakan kerajaan negeri lebih memihak kepada pelabur asing demi untuk menjaga hati mereka sedangkan segala tuntutan peniaga dan kesusahan yang dihadapi peniaga setelah berpindah langsung tidak diendahkan.

"Memang ada mereka beri pampasan atau sagu hati tetapi jumlah yang diberikan bagi kami terlalu kecil berbanding kesulitan terpaksa ditanggung peniaga akibat perpindahan itu.

Justeru, kami sudahpun memberikan maklumat lengkap kepada Perdana Menteri," katanya.

Mohd Redzuan berkata, pihaknya juga amat kesal dengan kenyataan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam secara peribadi baru-baru ini kepadanya menyatakan kononnya Ikhlas tidak perlu menjadi orang tengah di dalam menyelesaikan setiap kemelut yang melanda kalangan peniaga di Melaka.

NONE"Sedangkan selama ini, Perdana Menteri sentiasa melaung-laungkan peranan badan bukan kerajaan (NGO) agar bekerjasama dengan kerajaan dalam setiap masalah.

"Setiap masalah yang berlaku semakin berlarutan berikutan kegagalan kerajaan negeri menyelesaikannya sehingga ramai di kalangan peniaga kecil terlibat berasa terhimpit berbanding ketika menjalankan perniagaan beberapa tahun dahulu.

"Segelintir pegawai kerajaan dan juga Ahli Majlis juga dilihat kurang sopan ketika berdepan dengan peniaga," dakwanya.

Tiada ulasan: