Khamis, 21 Julai 2011

Tindakan terhadap pegawai SPRM langgar prosedur

BERNAMA


Kerajaan memberi jaminan bahawa tindakan sewajarnya akan diambil terhadap pegawai yang melanggar prosedur Suruhanjaya
Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berdasarkan peraturan dan undang-undang sedia ada.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz berkata kerajaan akan terus memastikan keutuhan perundangan negara terus dipelihara, selain usaha membanteras dan memerangi rasuah di semua peringkat dilaksanakan dengan tegas dan telus.

"Kerajaan penuh yakin dan percaya dengan kewibawaan dan integriti SPRM dalam memerangi rasuah dan penyalahgunaan kuasa di negara ini," katanya ketika mengumumkan intipati laporan Suruhanjaya Diraja Menyiasat Kematian Teoh Beng Hock di bangunan Parlimen hari ini.

Suruhanjaya Diraja itu mendapati kematian pembantu khas seorang anggota Exco kerajaan negeri Selangor itu pada Julai 2009 adalah akibat membunuh diri.

Mohamed Nazri berkata hasil siasatan Suruhanjaya itu juga mendapati bahawa tiga pegawai penyiasat yang terbabit dalam kes ini telah menggunakan taktik soal siasat yang berterusan, agresif dan keterlaluan ke atas Teoh yang didapati melanggar prosedur sedia ada.

Laporan suruhanjaya itu menyebut bahawa tindakan yang dilakukan ketiga-tiga pegawai berkenaan iaitu Hishamuddin Hashim, Mohd Anuar Ismail dan Mohd Ashraf Mohd Yunus, berkemungkinan besar berbentuk soal siasat secara intensif sekali lagi ke atas Teoh untuk memaksanya membuat pernyataan bahawa Yong yang mengarahkannya untuk melakukan tindakan yang menyalahi undang-undang dalam mengendalikan peruntukan tersebut.

Laporan itu menyebut sesi itu pastinya membebankan Teoh dari segi fizikal dan mental memandangkan dia telah dinafikan tidur sepanjang malam dan pagi dan perlu menanggung soal siasat yang berterusan, agresif dan tidak wajar.

Nazri juga meminta semua pihak untuk tidak mempolitikkan isu ini dan memutarbelitkan fakta yang dilaporkan dalam laporan berkenaan.

"Saya ingin meminta semua pihak menghormati dan menerima hasil Laporan Suruhanjaya Diraja demi menghormati keluarga Teoh Beng Hock.

"Dengan selesainya siasatan oleh suruhanjaya ini, saya amat berharap semua pihak termasuk keluarga Teoh dapat membawa episod ini kepada penutup dengan laporan ini," katanya.

Ditanya sekiranya keluarga Teoh masih tidak berpuas hati dengan laporan siasatan berkenaan, Mohamed Nazri berkata mereka boleh mengambil sebarang tindakan yang dibenarkan oleh undang-undang negara.

"Ini sebuah negara bebas, kalau ada apa-apa cadangan lagi yang dimahukan, kita boleh pertimbangkan, lagipun (Suruhanjaya Diraja) itu dilaksanakan mengikut permintaan orang ramai," katanya.

Beliau berkata SPRM perlu melaksanakan semua penambahbaikan yang dicadangkan Suruhanjaya Diraja itu di dalam laporan berkenaan supaya masyarakat tidak akan hilang keyakinan terhadap SPRM.

"Kita akan maklum kepada mereka bahawa ini perlu dilaksanakan untuk kebaikan dan nama baik badan bebas ini dan tidak ada sebab mengapa mereka menolak cadangan daripada Suruhanjaya Diraja ini," katanya.

Bagi pihak kerajaan, Mohamed Nazri turut melahirkan rasa yang amat kesal kepada keluarga Teoh di atas kematiannya.

"Kerajaan turut bersedih dengan kejadian tersebut dan kehilangan beliau," katanya.


Tiada ulasan: