Harakahdaily |
KUALA LUMPUR: PAS hari memberi amaran bahawa tindakan yang dikenakan oleh pihak Kedutaan Malaysia dan Jabatan Penuntut Malaysia terhadap para pelajar negara di Mesir yang mengadakan perhimpunan Bersih 2.0 pada 9 Julai lalu di Kaherah akan menyemarakkan lagi kebencian mahasiswa-mahasiswi terhadap kerajaan Umno Barisan Nasional. “Tindakan yang diambil jelas menzalimi mahasiswa tersebut dan melanggar hak mahasiswa untuk berhimpun secara aman yang dijamin oleh Perlembagaan Malaysia dan tidak dihalang oleh pihak berkuasa Mesir. “Tindakan zalim ini hanya akan menyemarakkan kebencian mahasiswa-mahasiswi terhadap kerajaan Umno Barisan Nasional, dan ia tidak membina sesuatu yang berguna bagi masa depan negara,” selar Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (gambar) dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily hari ini. Menurut Lajnah Keahlian dan Ulamak Pelapis, Dewan Ulamak PAS Pusat, antara tindakan yang diambil adalah pembatalan pengajian seorang mahasiswa negeri Selangor, menghalau 3 orang mahasiswa daripada Asrama Rumah Melayu di Abbassiyah (ARMA) tanpa sebarang notis dan surat tunjuk sebab, menyenarai hitamkan 40 orang mahasiswa negeri Perak dan beberapa orang mahasiswa negeri Terengganu yang menerima ugutan. Tambah Lajnah itu lagi, tindakan yang diambil juga dilakukan secara terburu-buru tanpa ada penyiasatan yang teliti dan tidak memberikan hak kepada mahasiswa terbabit untuk mempertahankan diri. Tuan Ibrahim mempersoalkan mengapa hanya di Mesir sahaja pelajar-pelajar negara yang mengadakan perhimpunan Bersih 2.0 dikenakan tindakan sedangkan perhimpunan yang sama turut berlaku di beberapa buah negara lain pada 9 Julai yang lalu. “Walhal, mereka yang ditahan dalam negara semasa perhimpunan Bersih 2.0 Julai 9 yang lalu telah dibebaskan tanpa sebarang tindakan. “Apakah kedutaan Malaysia di Keherah ketinggalan maklumat atau sengaja menjadi barua Umno bagi menunjukkan seolah-olah ia sahaja yang berani mengambil tindakan?” bidas beliau yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang. Menyeru pihak yang bertanggungjawab supaya tidak menjadi “lebih sudu dari kuah”, Tuan Ibrahim turut menyeru campur tangan Kementerian Pengajian Tinggi dan Wisma Putra bagi mengatasi kezaliman yang berlaku itu. “Mereka sepatutnya bertindak berdasarkan peruntukan undang-undang yang ada, di mana seseorang itu tidak bersalah sehingga dibuktikan oleh mahkamah ia bersalah. “Tindakan yang diambil jelas menzalimi mahasiswa tersebut dan melanggar hak mahasiswa untuk berhimpun secara aman yang dijamin oleh Perlembagaan Malaysia dan tidak dihalang oleh pihak berkuasa Mesir,” tegas beliau. Pelajar-pelajar berkenaan, difahamkan sebahagiannya akan menamatkan pengajian beberapa bulan sahaja lagi, kata Tuan Ibrahim tidak seharusnya dibiarkan dibuang, dihalau dari asrama Malaysia dan dikenakan pelbagai ugutan. “Pihak Lajnah Guaman PAS akan meneliti isu ini secara dekat bagi membela nasib pelajar yang teranianya ini,” tambah beliau. |
Selasa, 26 Julai 2011
Tindakan pada pelajar semarak kebencian Umno BN
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan