Ahad, 3 Julai 2011

Tiada Ruang Kepada Penganjur Perhimpunan Haram - KPN

BERNAMA

BUTTERWORTH: Polis akan bertindak mengikut lunas undang-undang dan tidak akan memberi ruang kepada mana-mana pihak yang bercadang menganjurkan perhimpunan haram di ibu negara pada 9 Julai ini.

Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar menegaskan tindakan akan diambil tanpa mengambil kira sebarang kenyataan atau andaian pihak lain terhadap tindakan polis.

Beliau berkata jika diadakan, perhimpunan itu akan mengundang kepada gangguan ketenteraman negara dan menyebabkan huru-hara.

"Janganlah mencabar kedaulatan undang-undang yang termaktub di dalam perlembagaan negara. Pihak polis akan mengambil tindakan sewajarnya dengan menggunakan peruntukan undang-undang yang ada kepada sesiapa sahaja yang melanggar undang-undang yang ditetapkan," katanya kepada pemberita selepas melancarkan program "Jom Cegah Jenayah" di Pantai Bersih berhampiran dengan tempat rehat di Lebuhraya Lingkaran Luar Butterworth di sini.

Ismail menasihatkan orang ramai yang berniat menyertai perhimpunan haram itu supaya membatalkan hasrat mereka atau berhadapan tindakan polis.

"Saya lihat perhimpunan ini mengundang kepada ketegangan ketenteraman awam.Jadi sebagai rakyat Malaysia yang bertanggungjawab, janganlah kita membuat pilihan yang boleh menyebabkan ketegangan dalam negara kita berlaku," katanya.

Ismail berkata polis mempunyai strategi tertentu yang boleh diguna pakai untuk menjaga keselamatan dan memastikan keamanan negara berkekalan.

"Adalah menjadi keprihatinan saya bagi memastikan kehidupan masyarakat dilindungi, kami akan memainkan peranan kami sebagai pelindung masyarakat. Kita kena jaga undang-undang," tegasnya

Tiada ulasan: