Jumaat, 8 Julai 2011

Tiada Makluman Rasmi, Badrul Hisyam Tetap Sertai BERSIH Esok

Ditulis oleh Nur Atiqah Abd Samad



SHAH ALAM : "Saya masih tidak menerima apa- apa dokumen rasmi dari polis dan saya tetap akan menghadiri himpunan BERISH 2.0 esok," kata Pengerusi Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Badrul Hisyam Shaharin.

Badrul menegaskan dokumen rasmi menghalang beliau dan 90 individu lagi daripada memasuki kawasan Kuala Lumpur esok, sepatutnya dikeluarkan lebih awal bagi membolehkannya memberikan maklum balas.

"Secara undang-undang teknikalnya saya tak pasti saya dapat ke tidak, kalau ada perintah mahkamah dia (polis) harus hantar kepada saya, perintah mahkamah tak boleh beritahu melalui media, saya pun sibuk dan saya tak tahu apa yang dilaporkan oleh media."

Beliau menambah, pemerintah tidak pernah mengiystihar Kuala Lumpur dengan perintah berkurung, darurat dan sebagainya, justeru tidak ada alasan untuk polis menghalang 91 individu daripada menghampiri ibu negara.

"Itu terpulang kepada pihak polis atau penguatkuasaan undang-undang menyebut negara ini ada hukum dan saya perlu dimaklumkan secara rasmi mengenai perintah tersebut, saya setakat waktu ini, saya tidak dapat sebarang makluman," katanya.

Lewat petang semalam Polis Kuala Lumpur mendapat perintah larangan daripada majistret untuk menghalang 91 pemimpin merangkumi pemimpin pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Pakatan Rakyat, Pemuda UMNO dan PERKASA, daripada memasuki Kuala Lumpur esok.

Timbalan ketua polis Kuala Lumpur Senior Asisten Komisioner Datuk Amar Singh Ishar Singh berkata, pelanggaran perintah berkenaan merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 188 Kanun Keseksaan.

Badrul berkata sementalah dirinya tidak mendapat apa- apa dokumen rasmi bersabit perkara tersebut, beliau akan tetap dengan jadualnya untuk memastikan himpunan BERSIH 2.0 esok berjalan lancar dan tertib esok.

"Dunia sedang mentertawakan pimpinan rejim dalam Malaysia dan biarlah ini saya rasa semakin melengkapkan syarat-syarat kejatuhan sebuah rejim."

Beliau juga menyeru kepada rakyat Malaysia supaya banjiri bandaraya Kuala Lumpur esok, dengan tenang dan aman tanpa sebarang senjata bagi mengelakkan sebarang perkara yang tidak diingini.

Tiada ulasan: