Ditulis oleh Fauzan Uda Ahmad
SHAH ALAM : Peguam yang mewakili keluarga mendiang Teoh Beng Hock memberi jaminan, tetap akan memperjuang nasib bekas pembantu Exco Selangor itu, walaupun Suruhanjaya Siasatan Di- Raja mendakwa mendiang mati bunuh diri.
Bagaimanapun Gobind Singh Deo berkata, pihaknya akan meneliti terlebih dahulu kandungan laporan Suruhanjaya yang dikeluarkan semalam, sebelum mengambil sebarang tindakan.
Beliau ketika dihubungi Tv Selangor berkata, pihaknya memerlukan masa bagi meneliti hasil laporan tersebut memandangkan ianya melibatkan kajian bersifat teori dan teknikal.
“Kita dalam proses meneliti laporan tersebut dan kita akan memberitahu tindakan selanjutnya dalam masa terdekat.
“Biar kita ambil masa , kita baca, kita teliti dan bila kita sudah ada keputusan, kita akan memberi tahu media.” kata Gobind.
Hasil laporan setebal 124 muka surat yang diumumkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Nazri Aziz, ditolak keluarga mendiang.
Nazri berkata, suruhanjaya tersebut memutuskan tindakan bunuh diri itu akibat soalsiasat yang agresif dan berterusan oleh pegawai Suruhajaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Laporan suruhanjaya itu menyebut bahawa tindakan yang dilakukan ketiga-tiga pegawai berkenaan iaitu Hishamuddin Hashim, Mohd Anuar Ismail dan Mohd Ashraf Mohd Yunus, berkemungkinan besar berbentuk soal siasat secara intensif sekali lagi ke atas Teoh untuk memaksanya membuat pernyataan bahawa Yong yang mengarahkannya untuk melakukan tindakan yang menyalahi undang-undang dalam mengendalikan peruntukan tersebut.
Laporan itu menyebut sesi itu pastinya membebankan Teoh dari segi fizikal dan mental memandangkan dia telah dinafikan tidur sepanjang malam dan pagi dan perlu menanggung soal siasat yang berterusan, agresif dan tidak wajar.
Suruhanjaya itu dalam laporannya berpendapat soal siasat keempat telah menjadi faktor pencetus yang membawa kepada kejadian berkenaan.
Beng Hock, 30, bekas setiausaha politik kepada Exco Selangor, Ean Yong Hian Wah ditemui mati di koridor tingkat lima Plaza Masalam, Shah Alam, Selangor pada 16 Julai 2009 selepas memberi keterangan di pejabat SPRM Selangor yang terletak di tingkat 14, plaza berkenaan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan