Selasa, 5 Julai 2011

Sukar tapi tak mustahil untuk Sarbaini keluar ikut tingkap, kata peguam SPRM


KUALA LUMPUR— Misteri tindakan Ahmad Sarbaini Mohamed yang cuba meninggalkan bangunan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 6 April lalu terus menjadi topik utama dalam inkues yang bermula semalam.

Satu ujian untuk mengenal pasti kesahihan yang telah diadakan hari ini apabila mahkamah koroner melawat tempat kejadian.

Menurut peguam yang mewakili agensi itu Datuk Seri Shafee Abdullah, beliau telah melihat tingkap di bilik pantri yang terletak di tingkat tiga di kompleks SPRM Wilayah Persekutuan, Jalan Cochrane di sini.

“Ia sukar (untuk keluar) tapi tidak mustahil,” katanya apabila ditanya tentang tempat kejadian oleh peguam keluarga Sarbaini, Awtar Singh yang cuba melakonkan semula bagaimana pegawai Kastam itu cuba meninggalkan bilik pantri.

Terlebih dahulu Awtar memberitahu pemberita bahawa beliau telah cuba melakonkan semula insiden itu dengan meniru bagaimana Sarbaini cuba keluar melalui tingkap bilik pantri.

Bagaimanapun Shafee berkata Awtar berketinggian “enam kaki” sedangkan Sarbaini hanya setinggi lelaki normal, yang mana peguam terkenal itu meletakkan ketinggian di antara lima kaki tujuh inci sehingga lima kaki sembilan inci.

Awtar kelihatan tersenyum apabila ditanya sama ada Sarbaini mahu keluar dari bangunan itu melalui tingkap.

“Ah, datang ke mahkamah esok, pukul 9 pagi dan anda akan dapat jawapannya. Esok anda pasang telinga,” katanya sambil berkata akan menyoal DSP Sharul Othman Mansur dari cawangan forensik Bukit Aman yang menjadi saksi kedua inkues yang bermula semalam.

Koroner Aizatul Akmal Maharani mengetuai lawatan ke bangunan SPRM yang berusia lapan bulan untuk melihat tempat kejadian.

Turut hadir dalam lawatan itu peguam dari Jabatan Peguam Negara, SPRM, keluarga Sarbaini dan Majlis Peguam, ia dibantu Pengarah SPRM Kuala Lumpur Mohamad Yusof kira-kira dua jam.

Semalam Sharul Othman dalam keterangannya berkata menemui kesan cap jari dan tapak tangan pada sebuah tingkap terbuka dalam bilik pantri yang terletak di tingkat tiga.

Pegawai polis itu berkata jarak antara bilik pantri dan gelanggang badminton adalah setinggi 10 meter di mana mayat Sarbaini ditemui dengan limpahan darah.

Tiada ulasan: