Jumaat, 22 Julai 2011

SUHAKAM: Rundingan telus dan terbuka dengan orang asli sebelum pembangunan

SUHAKAM


Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) telah mengadakan sesi konsultasi selama dua hari bersama masyarakat orang asli di Dewan Jubli, Kuala Betis, Gua Musang. Seramai lebih 600 orang peserta yang terdiri daripada masyarakat Orang Asli Kelantan, wakil-wakil dari jabatan dan agensi kerajaan negeri dan pusat serta badan-badan bukan Kerajaan yang telah hadir ke sesi ini.

Sesi konsultasi ini memberi peluang kepada SUHAKAM untuk bertemu dan mendapatkan komen serta pandangan mengenai pelbagai isu yang dihadapi termasuklah, antara lain, isu tanah, pendidikan, kemudahan infrastruktur dan kesihatan.

Hasmy Agam (gambar kiri), Pengerusi SUHAKAM dalam ucapan aluan telah mengatakan bahawa SUHAKAM akan mengkaji dan menganalisa segala aduan yang diterima semasa sesi konsultasi ini dan akan memanggil pelbagai pihak termasuk orang asli, wakil-wakil jabatan dan agensi kerajaan berkaitan, wakil-wakil badan bukan kerajaan dan korporat serta individu untuk memberi keterangan semasa pendengaran awam yang dijangka akan dimulakan di Sabah pada bulan Disember ini. Satu laporan terperinci yang merangkumi pelbagai isu serta syor SUHAKAM akan dikemukakan kepada Parlimen dan Dewan Undangan Negeri serta jabatan dan agensi kerajaan yang terlibat.

Sementara itu, Jannie Lasimbang, pesuruhjaya SUHAKAM juga menyarankan agar setiap program atau aktiviti untuk membangunkan masyarakat orang asli perlulah dibincangkan dengan masyarakat terlibat sepertimana yang dinyatakan dalam Deklarasi Hak Orang Asli PBB bahawa tiada diskriminasi terhadap masyarakat orang asli dan penglibatan penuh mereka haruslah diadakan secara efektif dan terbuka dalam menentukan bentuk pembangunan yang bersesuaian dengan kehidupan dan budaya hidup mereka.

Masyarakat orang asli juga menegaskan bahawa perundingan secara telus dan terbuka harus diadakan dengan semua masyarakat orang asli yang terlibat dalam projek pembangunan agar mereka tidak ditindas dan hak mereka kepada tanah yang telah diduduki seak turun temurun dapat dipertahankan. Antara isu tanah yang telah diutarakan semasa sesi dialog adalah tentang pewartaan dan perizaban tanah, pencerobohan tanah orang asli disebabkan aktiviti komersial seperti pembalakan, penanaman getah dan kelapa sawit, tuntutan tanah saka serta pertindihan rizab tanah.

Sesi konsultasi ini telah dimulakan di Tapah dan Gerik pada 15 dan 17 Julai. SUHAKAM telah memperolehi sebanyak 75 aduan berkaitan tanah di Tapah dan 27 di Gerik. Sementara itu, sebanyak 80 aduan mengenai isu tanah telah diterima dari masyarakat orang asli di Kelantan. SUHAKAM akan meneruskan sesi konsultasi Inkuiri Nasional mengenai hak tanah orang asli di Semenanjung di Pos Betau, Kuala Lipis (20 Julai), Kuala Krau, Temerloh (23 Julai), Segamat (25 Julai), Batu Pahat (26 Julai), Telok Panglima Garang (28 Julai) dan Sg.Tua, Selayang (29 Julai).

*Kenyataan daripada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM).

Tiada ulasan: