Sabtu, 9 Julai 2011

Staf Schenker nafi beri Sarbaini rasuah


KUALA LUMPUR — Seorang ejen khidmat penghantaran menafikan pernah memberi rasuah kepada Ahmad Sarbaini Mohamed meskipun bekas penolong pengarah Kastam itu dikatakan menerima suapan, demikian inkues diberitahu hari ini.

Wan Zainal Abidin Wan Zaki, eksekutif kanan Schenker Logistics (Malaysia) memberitahu mahkamah koroner bahawa Sarbaini ada memberitahunya pada 4 April lalu yang dia telah memaklumkan SPRM ada menerima duti daripadanya.

“Dia menghubungi saya pada pukul 8.55 malam, mengatakan bahawa dia baru keluar dari SPRM dan telah memberitahu mereka yang saya memberikannya RM50 hingga RM100,” kata Wan Zainal Abidin, 44.

“Saya bertanya ‘mengapa kamu memberikan nama saya kepada SPRM?’ Dia berkata ‘saya hanya ingat nama Schenker-Zainal, Zainal-Schenker. Saya tersentak,” katanya.

Semalam, ketua unit siasatan SPRM Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur Mohd Fauzi Husin memberi keterangan bahawa Sarbaini ada membuat perakuan menerima rasuah ketika disoal siasat pada 4 April.

Menurut Fauzi, Sarbaini mengaku ada menerima antara RM50 dan RM100 sebulan daripada Wan Zainal Abidin dan juga RM30 hingga RM200 sebulan daripada staf bernama Ah Seng dari Top Mark Freight & Shipping Sdn Bhd.

Fauzi juga berkata, dia diberitahu oleh Sarbaini bahawa dia datang ke pejabat SPRM pada 6 April lalu untuk menukar pengakuannya.

Sarbaini ditemui mati di premis SPRM di sini pada 6 April.

Tiada ulasan: