KUALA LUMPUR — Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memutuskan untuk tidak lagi menggunakan sampul surat dan karung undi pos pada pilihan raya umum ke-13 — dilihat perkembangan terbaru dalam melaksanakan pembaharuan sistem pilihan raya negara ini.
Langkah itu dilihat selaras dengan perubahan nama undi pos kepada pengundian awal yang diputuskan oleh suruhanjaya itu sebelum ini.
The Malaysian Insider difahamkan perkara itu dibincangkan baru-baru ini.
Ia diumumkan kepada media dua hari selepas perhimpunan Bersih 2.0 yang diadakan, menuntut lapan pembaharuan dalam sistem pilihan raya negara ini.
Bagaimanapun menurut Timbalan Pengerusi SPR Datuk Wira Wan Ahmad Wan Omar perkara itu sudah lama dikaji dan langkah awal sudah pun dimulakan ketika pilihan raya kecil kerusi Parlimen Kuala Terengganu pada Januari 2009.
“Kalau dulu anggota tentera dan polis menggunakan sampul surat undi pos dan sampul surat dimasukkan ke dalam karung undi pos, tetapi mulai sekarang mereka akan memasukkan kertas undi ke dalam peti undi seperti yang digunakan di pusat-pusat pengundian normal,” kata Wan Ahmad kepada kepada The Malaysian Insider pagi ini.
Dalam laporan New Straits Times hari ini, Wan Ahmad dipetik berkata, jika sebelum ini anggota polis dan tentera mengundi dengan diselia pegawai-pegawai kanan mereka, sistem itu juga akan mengalami perubahan.
Justeru, tugas penyeliaan proses pengundian di kem-kem tentera akan diambil oleh pegawai-pegawai lantikan SPR iaitu pegawai pengurus pilihan raya.
Wan Ahmad berkata ia antara pembaharuan yang akan dibawa ke atas sistem pilihan raya, yang dteliti sejak kebelakangan ini dan sudah sedia untuk digunakan dalam pilihan raya umum ke-13.
“Kami sebenarnya sudah mula melakukan pembaharuan ke atas undi pos sejak pilihan raya kecil Kuala Terengganu... di mana kami membenarkan ejen calon berada di pusat pengundian seperti di ibu pejabat kontinjen polis dan kem-kem tentera,” katanya.
“Cuma kali pertama peti undi akan digunakan untuk mereka memasukkan kertas undi terus ke dalam peti undi, tidak lagi digunakan sampul surat dan Borang 2 lagi,” jelas Wan Ahmad kepada The Malaysian Insider.
Pada pilihan raya umum ke-12 terdapat seramai 221,000 pengundi pos.
Sebelum ini wujud kritikan bahawa pengundian oleh anggota tentera dan polis di depan pegawai atasan mereka menyebabkan proses pengundian tidak dikendalikan dengan telus dan sokongan memihak kepada parti pemerintah.
Lazimnya anggota tentera polis dan tentera akan mengundi menggunakan undi pos dua atau tiga hari sebelum pengundian sebenar satu-satu pilihan raya kecil.
“Kami mahukan satu sistem pengundian yang berkesan dan telus,” kata beliau sambil menambah, ini adalah antara aspek yang SPR mahu melaksanakan tanpa menunggu pindaan undang-undang.
“Persepsi adalah isu, di mana (tanggapan) bahawa anggota pasukan seragam mengendalikan keseluruhan proses pengundian, dakwaan itu adalah tidak berasas,” kata beliau menurut laporan akhbar itu.
“Dalam menjadikan sistem pengundian lebih berkesan, kami akan membenarkan ejen-ejen parti (calon) berada di pusat pengundian dari pagi hingga keseluruhan proses pengundian berakhir, apabila anggota tentera dan polis mengundi,” kata Wan Ahmad.
Kata beliau, sekiranya pengundian berterusan sehingga dua atau tiga hari, dalam sesetengah kes, peti undi akan disimpan di pejabat pegawai pengurus pilihan raya.
Tambah Wan Ahmad, pada hari pengundian kertas undi akan dikira sama ada di pejabat pengurus pilihan raya ataupun di pusat penjumlahan undi.
Katanya, SPR sedang mengkaji apsek-aspek lain agar pendekatan baru ini tidak berhadapan dengan kekurangan ataupun kecacatan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan