Selasa, 12 Julai 2011

Skandal Scorpene : SUARAM, Peguam Anjur Makan Malam Dedah Misteri Komisyen Jutaan Ringgit

Ditulis oleh Naeem Raffie


KUALA LUMPUR : Suara Rakyat Malaysia (SUARAM) dan Peguam Perancis, William Bourdan yang mengendalikan kes skandal kapal selam Scorpene akan bersama-sama badan bukan kerajaan itu untuk menganjurkan siri kempen dan makan malam bermula 20 hingga 24 Julai depan.

Menurut Pengarah Eksekutif SUARAM, Cynthia Gabriel, program empat hari itu adalah lanjutan daripada usaha membongkar dan mendedahkan lebih terperinci kepada rakyat mengenai kes yang melibatkan pembayaran komisyen hampir RM500 juta kepada sebuah syarikat yang dikenali sebagai Perimekar Sdn Bhd.

"Ini penting kerana ia akan membongkarkan lebih banyak maklumat terbaru mengenai skandal ini berhubung status terkini siasatan kes ini di Perancis.

"Selain itu ianya juga akan mendedahkan individu-individu berprofil tinggi yang terlibat secara langsung dengan kes ini kepada rakyat,"kata beliau.

Cynthia berkata demikian dalam satu sidang media di Dewan Himpunan Cina Wilayah dan Selangor hari ini.

Terdahulu, dua komisyen didedahkan pihak berkuasa Perancis hasil dari serbuan yang dibuat ke atas DNCS, syarikat yang membina dan menjual kapal selam kepada negara ketiga termasuk Malaysia.

Sebelum ini, laman web Rue89 melaporkan, sebanyak 114 juta Euro yang menjadi komisyen dalam pembelian dua kapal selam Scorpene dibayar kerajaan Malaysia, bukannya Armaris, sebuah syarikat di Perancis.

Rue89 juga mendedahkan, syarikat Perancis, Armaris tidak pernah membayar kepada Perimekar RM493 juta, sebaliknya ia sebenarnya dibayar kerajaan Malaysia sendiri.

Justeru untuk menerangkan maklumat-maklumat itu dengan lebih terperinci, menurut Cynthia, kempen dan majlis makan malam di bandar-bandar utama itu amat penting.

Ia juga bertujuan untuk mengumpulkan dana bagi membiayai perjalanan kes.


Berikut senarai lokasi kempen dan makan malam tersebut :-


1. OPS Scorpene's Dinner 21 Julai jam 8 malam - 11 malam
Sunshine Square, Bayan Lepas Pulau Pinang.

2. OPS Scorpene's Dinner 22 Julai jam 8 malam - 11 malam
Dewan Sivik MBPJ, Petaling Jaya Selangor.

3. Forum dan Kutipan Dana 23 Julai jam 8 malam - Ipoh (lokasi masih belum diputuskan)


Menurut Cynthia, majlis makan malam dan forum penerangan oleh William Bourdon itu turut akan dihadiri oleh Penasihat DAP, Lim Kit Siang, Mohamad Sabu, Tian Chua dan Nurul Izzah Anwar.

Turut hadir pada sidang media sama Sekteriat SUARAM, Fadiah Nadwa Fikri.

Fadiah yang juga seorang peguam berkata, program anjuran SUARAM itu sedikit sebanyak membantu untuk menampung dana dalam membiayai perjalanan kes.

"Dana yang terkumpul itu kami akan gunakan untuk membiayai kos guaman dan perjalanan kes, seperti sedia maklum kes seumpama ini memerlukan sebuah dana yang besar,"katanya.

Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh melawati laman sesawang SUARAM dan pembelian tiket untuk majlis makan malam di tempat yang dinyatakan boleh dibuat dalam bentuk tunai ataupun cek kepada suaram.

Sumbangan orang ramai juga boleh disalurkan ke akaun SUARA INISIATIF SDN BHD, A/C NO: 0300 0065 200, Hong Leong Bank.

Tiada ulasan: