Khamis, 21 Julai 2011

S'jaya cadang baiki sistem perlindungan saksi SPRM

BERNAMA


Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) diminta meningkatkan infrastruktur di premis dan pejabatnya termasuk menyediakan kamera pengawasan untuk merekod pergerakan dan perlakuan setiap orang yang memasuki atau meninggalkan pejabat atau mana-mana biliknya.

Itu antara cadangan suruhanjaya diraja yang menyiasat kematian Teoh Beng Hock dalam laporannya bagi menambah baik aspek perlindungan saksi yang sedang dalam siasatan SPRM bagi mengelak sebarang kontroversi seumpama kes kematian Teoh berulang.

Cadangan yang dikemukakan itu merupakan pendapat kesemua ahli panel Suruhanjaya Diraja itu berdasarkan hujah-hujah yang dikemukakan semasa perjalanan siasatan kes berkenaan.

Selain penambahbaikan infrastruktur, Suruhanjaya Diraja itu turut mengusulkan supaya SPRM meneliti prosedur sedia ada supaya lebih mantap dan berkesan dan menilai semula kelayakan masuk perkhidmatan dan latihan pegawainya.

Suruhanjaya yang ditubuhkan oleh kerajaan bagi menyiasat punca kematian Teoh Beng Hock itu dipengerusikan Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri James Foong Cheng Yuen.

Bagi meningkatkan aspek infrastruktur, suruhanjaya diraja itu berpendapat SPRM perlu mengadakan bilik menunggu yang ditetapkan untuk menempatkan saksi sementara menunggu ditemubual atau pernyataannya direkod.

Para pegawai perlu menunggu bersama dengan saksi untuk menghalang apa-apa perkara yang tidak diingini dan juga untuk menghalang saksi yang terlibat dalam siasatan yang sama daripada berhubungan antara satu sama lain.

Saksi pula tidak boleh dikehendaki menunggu lebih daripada 30 minit kecuali ada alasan yang baik, demikian menurut laporan itu.

"Kami tidak perlu menekankan lagi keperluan perkara ini memandangkan terdapat kejadian yang menunjukkan bahawa apabila saksi atau orang yang disyaki dibiarkan merayau-rayau tanpa diawasi di pejabat SPRM, perkara yang tidak diingini mungkin berlaku," katanya.

SPRM turut disarankan mewujudkan bilik khas untuk menemubual dan merekod pernyataan saksi.

Bilik temubual itu perlu ditempatkan di tingkat bawah pejabat SPRM dan tidak boleh dikunci semasa sesi temubual atau sesi merekod pernyataan.

Ini akan membolehkan pegawai atasan kepada pegawai yang menemubual atau yang merekod pernyataan memeriksa pegawai tersebut dari masa ke masa untuk memastikan sesi itu dijalankan dengan sepatutnya dan mengikut undang-undang.

Bagi mewujudkan ketelusan dalam proses temubual dan mengelak tuduhan menggunakan kekerasan, bilik itu perlu dilengkapi cermin kaca sekala selain semua prosiding di pejabat SPRM dirakam dalam CCTV.

SPRM turut disaran mewujudkan bilik rehat atau bermalam untuk pegawainya sekiranya tugas memerlukan mereka berada lebih lama di pejabat bagi membolehkan mereka berehat dengan lebih selesa bagi membolehkan pegawai berkenaan menguruskan saksi dengan lebih baik.

Mengenai tindakan merekod pernyataan di luar waktu pejabat, Suruhanjaya Diraja itu berpendapat, jika perberhentian tugas merekod pernyataan saksi mendatangkan kesan buruk terhadap siasatan, maka tugas itu hendaklah diteruskan melewati waktu pejabat dengan syarat saksi diberikan waktu rehat yang mencukupi dan perhatian kepada keadaan dan kesihatan fizikal dan mental saksi diambil kira.

Turut ditekankan oleh suruhanjaya diraja itu berkenaan layanan kepada saksi semasa tempoh soal siasat dijalankan di pejabat SPRM, termasuk penggunaan bahasa yang baik selain memberikan hak kepada saksi untuk berhubung dengan keluarga.

Mengenai kelayakan pegawai SPRM, suruhanjaya diraja itu berpendapat, mereka hendaklah sekurang-kurangnya tamat pendidikan tinggi, telah menjalani latihan yang komprehensif dan memenuhi standard yang dikehendaki termasuk penilaian dan kaunseling psikologi.


Tiada ulasan: