Khamis, 7 Julai 2011

Selangor Kesal Polis Tangkap 11 Ahli Majlis Berbaju Bersih 2.0

Ditulis oleh Afeeqa Afeera


SHAH ALAM : Menteri Besar Selangor kesal dengan tindakan polis yang menahan 11 ahli majlis Perbandaran Kajang atas dakwaan memakai baju rasmi BERSIH 2.0 ketika menghadiri mesyuarat rasminya baru- baru ini.

Beliau menegaskan, polis tidak berhak bertindak sedemikian berikutan Perlembagaan Persekutuan menjamin hak bersuara dan berkumpul dalam menyatakan pandangannya.

Justeru, tindakan 11 ahli PBT itu menyokong himpunan aman tersebut dengan memakai baju BERSIH 2.0 adalah wajar dan tidak menyalahi undang- undang negara.

"Saya berharap pihak polis akan dapat mengurangkan usaha itu sebab kita dapati terdapat penjelasan daripada semua pihak termasuk Bersih yang mana mereka cuba untuk mematuhi kehendak Yang diPertuan Agong supaya usaha kita untuk mencapai demokrasi di negara kita diamalkan dengan cara terbaik akan berlaku," katanya.

Esok kesemua 11 ahli PBT Majlis Perbandaran Kajang didakwa di Mahkamah Majistret Kajang.

Mereka didakwa di bawah Seksyen 47 Akta Pertubuhan 1966 atas dakwaan menerbitkan propaganda sebuah pertubuhan tidak sah.

Dalam pada itu, Khalid menjelaskan kerajaan Selangor tidak terlibat langsung dalam proses penentuan stadium untuk diadakan himpunan Bersih 2.0, Sabtu ini.

Bagaimanapun, Khalid berkata kerajaan Selangor dan Pakatan Rakyat menyokong kuat misi dan tuntutan Bersih 2.0.

"Saya rasa cara menunjukkan sokongan itu sangat penting dengan penunjukan sokongan itu, tindak balas kerajaan terutama Suruhanjaya Pilihan Raya akan lebih positif untuk menyelesaikan isu-isu yang akan menentukan pilihan raya kita adil, saksama dan juga telus supaya rakyat merasa senang hati dari segi menyertai pilihanraya yang akan diadakan," ujar Khalid.

Khalid turut menyambut baik sikap toleransi Pengerusi Bersih 2.0 yang menjunjung titah Yang di- Pertuan Agong, Tuanku mizan Zainal Abidin agar himpunan aman itu diubah lokasinya ke stadium bagi mengelakkan provokasi melampau daripada kerajaan pemerintah dan mengelakkan perkara yang tidak diingni berlaku.

Ambiga memilih untuk mengadakan himpunan itu di Stadium Merdeka, namun ditolak pihak pengurusan stadium itu.

Namun Ambiga ketika dihubungi Tv Selangor berkata, beliau tetap akan berusaha sedaya upaya untuk mendapatkan kebenaran menggunakan stadium itu, Sabtu ini.

Stadium itu dipilih memandangkan ia mempunyai banyak kemudahan pengangkutan awam dan kawasan strategik untuk pertemuan orang ramai selain memudahkan polis mengawal keadaan.

Tiada ulasan: