SHAH ALAM : Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak masih menggunakan cara lama hanya untuk mengaburi mata rakyat Malaysia yang tinggal di kampung-kampung tanpa menyedari beliau hakikatnya memalukan diri sendiri ke seantero dunia.
Ahli parlimen Shah Alam, Khalid Samad berkata, meskipun mengetahui akan keganasan yang dilakukan polis pada perhimpunan Bersih 2.0 di Kuala Lumpur Sabtu lalu sehingga mengakibatkan kecederaan dan seorang meninggal dunia, namun Najib masih berkeras menidakkan hal itu demi memastikan mereka yang tiada akses kepada media baru terus memihak kepada kerajaan.
Namun malang sekali, taktik Najib itu kata Khalid, tidak terpakai kepada masyarakat metropolitan yang jauh lebih ke depan sehingga menyebabkan reputasi Najib terus merudum.
"Dia ingat dia masih boleh gunakan taktik lama untuk menipu rakyat tapi rakyat sudah tahu. Hari ini berlaku, hari ini juga keluar berita di Youtube, Facebook, Malaysiakini, TV Selangor dan semua media alternatif apa sebenarnya yang berlaku .
"Dia tak sedar dia kini dalam penafian dan hidup dalam satu zaman yang sudah berlalu samalah dengan zaman BN, zaman media dikuasai,dimonopoli oleh kerajaan pun sudah berakhir. Sekarang ini dengan Twitter, Facebook, rakyat boleh dapat maklumat.Ini yang akan membuat kejatuhan mereka," kata Khalid kepada Tv Selangor.
Khalid antara puluhan yang turut mengalami kecederaan di kepala akibat tindakan ganas polis menembak gas pemedih mata secara semberono pada Sabtu lalu.
Dalam insiden yang berlaku di Stesen Sentral Kuala Lumpur, Ketua Pembangkang dan pengawal peribadi beliau turut dikejarkan ke hospital.
Manakala seorang ahli PAS disahkan meninggal dunia sebaik sahaja tiba di Hsopital Kuala Lumpur selepas pengsan di perkarangan KLCC akibat lari menyelamatkan diri dari tembakan gas pemedih mata yang dilepaskan oleh Unit Simpanan Persekutuan (FRU).
“Dia cukup tahu apa yang berlaku. Hakikatnya dia nak menafikan apa sebenarnya yang berlaku dan memberi gambaran kepada rakyat Malaysia yang tidak mendapat berita daripada sumber alternatif seolah-olah semua yang hendak dilakukan oleh Bersih gagal, nak dapatkan orang ramai pun tak ramai hanya 6 ribu orang... selepas itu polis layan dengan baik macam kenduri kahwin dan sebagainya. Ini semua boleh dikatakan sebagai penafian tapi hakikatnya semua orang tahu apa yang sebenarnya yang berlaku,"kata Khalid.
Tambah beliau, tindakan polis menyembur air kimia dan melepaskan ledakan gas pemedih mata secara membabi buta jelas membuktikan keganasan polis ketika
menjalankan tugas.
“Keganasan itu memang berlaku kerana bila disembur dengan air kimia, ditembak dengan gas pemedih mata dan sebagainya itu semua adalah keganasan. Kalau dia tak percaya, waktu dia masuk ke pejabat, kita minta FRU sembur, nak tengok ganas tak ganasnya bila ditembak dengan gas dan sebagainya," selar Khalid kepada kenyataan sinis Najib yang memperlekehkan kecederaaan yang dialami termasuk Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Jelas Khalid, penipuan yang dilakukan oleh Najib adalah kaedah lama Umno-Barisan Nasional bagi menutup kelemahan kerajaan dan cuba memikat hati rakyat yang kurang berpengetahuan, sedangkan bagi orang ramai yang terdedah dengan teknologi terkini, fakta itu hanya di hujung jari mereka.
Oleh itu, beliau menggesa kerajaan pusat supaya berani dan bersedia memberi peluang kepada pihak pembangkang mengadakan himpunan secara sah dan berpermit bagi mendengar suara rakyat.
“Saya sebenarnya mengharapkan bahawa kerajaan ini akan mempunyai keberanian untuk membenarkan sekali saja satu himpunan diadakan secara halal, berpermit anjuran pihak yang selain daripda kerajaan dan Barisan Nasional. Buat satu himpunan dan kita tengok bagaimana sokongan rakyat terhadap program-program yang bukan daripada Barisan Nasional,"katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan