Rabu, 27 Julai 2011

'Saya tak tipu’ – Mat Sabu

"Tidak ada sebab saya berbohong mengenai kemalangan itu sehingga menyebabkan kesihatan saya terjejas," kata Timbalan Presiden PAS.



PETALING JAYA: Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu tetap menafikan dakwaan Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman Datuk Salleh Mat Rashid yang mengatakan dirinya berbohong berhubung insiden pelanggaran kenderaan semasa Perhimpunan Bersih 2.0 9 Julai lalu.

Salleh dalam taklimatnya semasa tayangan video Bersih 2.0 di Bukit Aman 21 Julai lalu berkata, berdasarkan siasatan melalui kamera rakaman litar tertutup (CCTV) menunjukkan motosikal yang dibonceng Mat Sabu membuat pusingan ‘U’ selepas Pajero polis membuat pintasan, lalu
melanggar ‘fender’ Pajero terbabit sebelum hilang kawalan dan melanggar pembahagi jalan.

Menepis dakwaan Salleh itu, Mat Sabu menegaskan insiden ‘pelanggaran’ itu tetap wujud antara motosikal yang dinaikinya dengan polis, namun bukan dengan Pajero tetapi dengan Proton Waja.

Beliau mengulas mengenai kekeliruan ini berkata tidak ada sebab bagi dirinya untuk berbohong mengenai kemalangan itu sehingga menyebabkan kesihatannya terjejas dan menyukarkan pergerakannya melakukan kerja parti.

Perkara itu dibuktikan melalui laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi yang dikemukakannya bertarikh 14 Julai lalu, antaranya:

“Sebaik sahaja tiba disekitar kawasan Jalan Bangsar, saya dan pemandu motosikal yang saya naiki telah dikepung oleh dua buah kereta polis (Waja) dan sebuah Pajero polis berwarna gelap.

“Kereta Waja polis tersebut kemudiannya telah melanggar motosikal yang saya naiki dan motor yang saya naiki telah terjatuh.

‘Kaki kanan saya dilanggar’


“Kaki kanan saya juga telah dilanggar oleh bahagian depan Waja polis tersebut mengakibatkan saya tidak berupaya untuk berjalan dan terpaksa dipapah oleh dua orang untuk dibawa masuk ke dalam sebuah Pajero polis,” kata Mat Sabu dalam laporannya itu.


Beliau turut kesal dengan kenyataan Salleh yang mengatakan dirinya hanya mengalami cedera ringan dilutut, sama seperti kecederaan akibat bersukan dan hanya diberi rawatan sebagai pesakit luar serta keupayaannya memakai kerusi roda untuk bergerak turut dipersoalkan.

Mat Sabu dalam laporan polis bagaimanapun mempersoalkan tindakan rawatan pihak Hospital Kuala Lumpur (HKL), antaranya:

“Saya merasa amat aneh pihak HKL menyatakan saya tidak mengalami kecederaan yang serius sedangkan apabila saya pergi ke Hospital Pakar KPJ di Shah Alam saya dimaklumkan oleh doktor bahawa ligamen saya telah terkoyak dan saya perlu melakukan pembedahan pada hari Jumaat (15/7/2011).

“Saya mengesyaki pihak hospital telah diminta oleh pihak polis untuk melepaskan saya untuk dibawa ke balai polis Jinjang meskipun pihak hospital tahu bahawa keadaan kecederaan yang saya hadapi tidak mewajarkan saya dibawa semula ke balai polis dan saya sewajarnya dimasukkan ke wad untuk rawatan lanjut,” katanya dalam laporan itu.

Katanya, beliau kesal kerana polis kini digunakan sebagai alat Umno-Barisan Nasional (BN) dengan menuduh dirinya berbohong mengenai insiden itu dan meminta polis merujuk semula laporan polis yang telah dibuatnya pada 14 Julai lalu, iaitu seminggu sebelum polis menayangkan video terbabit di Bukit Aman dan membuat ulasan mengenainya.

Tiada ulasan: