Rabu, 13 Julai 2011

Saman Ambiga: Bantahan Taib Mahmud didengar 3 Ogos

THE MALAYSIAN INSIDER

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi menetapkan 3 Ogos untuk mendengar bantahan awal Ketua Menteri Sarawak terhadap permohonan kebenaran semakan kehakiman difailkan pengerusi pertubuhan tidak berdaftar Bersih 2.O Datuk S Ambiga untuk mencabar notis tidak membenarkannya memasuki Sarawak pada pilihan raya negeri lepas.

Hakim Datuk Rohana Yusuf menetapkan tarikh itu selepas mengadakan perjumpaan dengan kedua-dua pihak dalam kamarnya hari ini.

Menurut laporan Bernama Online, peguam James Khong yang mewakili Ambiga, memberitahu pemberita bahawa Tan Sri Abdul Taib Mahmud menyatakan dalam permohonannya bahawa beliau bukan pihak berkuasa negeri untuk dinamakan dalam permohonan semakan kehakiman itu.

Khong berkata Ketua Menteri Sarawak itu juga menyatakan perkara pokok itu tidak boleh disemak mengikut Akta Imigresen.

Pada 23 Mei lalu, Ambiga memfailkan permohonan kebenaran untuk semakan kehakiman dengan menamakan Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia, Pengarah Imigresen Sarawak dan Taib sebagai responden.

Peguam Kanan Persekutuan Datin Azizah Nawawi mewakili Jabatan Imigresen manakala Penasihat Undang-undang Negeri Sarawak Datuk J.C.Fong mewakili Taib.

Dalam permohonan semakan kehakiman itu, Ambiga memohon untuk membatalkan notis larangan memasuki Sarawak bertarikh 15 April yang dikeluarkan pengarah imigresen Sarawak.

Ambiga juga memohon perintah daripada Mahkamah Tinggi untuk mengarahkan para responden membenarkannya memasuki Sarawak.

Beliau memohon ganti rugi dan kos dan relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Ambiga dilarang memasuki negeri itu sepanjang tempoh kempen selama 10 hari bagi pilihan raya negeri Sarawak pada April lalu.

Tiada ulasan: