Rabu, 6 Julai 2011

Saksi: Sarbaini nampak gelisah, ‘baca fail tepuk dahi beberapa kali’


KUALA LUMPUR– Allahyarham Ahmad Sarbaini Mohamed kelihatan gelisah sebelum bertemu pegawai penyiasat SPRM Sheikh Niza Khairy Sheikh Mohamad pada hari dia ditemui mati, kata saksi keenam inkues kematian penolong pengarah Kastam Diraja Malaysia itu hari ini.

Ismail Sedek, 55, yang telah berkhidmat selama 30 tahun sebagai pengawal keselamatan di SPRM berkata, setibanya Sarbaini pada pagi 6 April, dia telah diminta oleh operator agar duduk di ruang menunggu di lobi bangunan itu.

“Ketika Sarbaini datang ke meja operator, saya terdengar dia memberitahu operator untuk bertemu dengan pegawai penyiasat, Sheikh Niza. Tetapi operator beritahu, Sheikh Niza sedang sibuk dan ada mesyuarat, jadi Sarbaini diminta untuk tunggu sebentar.

“Jadi dia duduk dan tunggu hampir sejam. Pada masa itu, saya lihat Sarbaini mengambil fail dari beg bimbit berwarna hitam yang dibawanya dan membaca fail itu sambil menepuk dahi beberapa kali. Sarbaini seperti orang yang ada masalah.

“Dalam masa sejam itu saya tengok dia asyik melihat fail dan nampak gelisah,” katanya ketika menjawab pertanyaan peguam mewakili SPRM Datuk Seri muhammad Shafee Abdullah.

Selain itu, Ismail berkata, semasa bapa kepada lima orang anak itu sedang menunggu di lobi, Sheikh Niza ada turun sebentar untuk mengambil surat daripada Sarbaini.

Katanya, selepas itu, pada pukul 9.30 pagi, dia telah dihubungi Sheikh Niza untuk membawa Sarbaini ke tingkat tiga iaitu ke biliknya.

“Sheikh Niza ada hubungi saya dan menyuruh bawa Sarbaini ke biliknya. Jadi saya hantar Sarbaini dengan menaiki lif dan selepas itu saya keluar minum. Balik sahaja daripada minum, saya lihat pihak polis sudah ramai di bangunan SPRM,” katanya lagi.

Sementara itu, peguam keluarga Ahmad Sarbaini, Awtar Singh turut menyoal Ismail dengan bertanyakan tentang bilik kawalan kamera litar tertutup (CCTV) yang terdapat dalam bangunan itu.

Ismail memberitahu dia merupakan orang yang bertanggungjawab untuk memantau bilik kawalan itu selain membuat rondaan dan duduk di kaunter hadapan di bangunan SPRM.

“Saya akan masuk ke dalam bilik kawalan tapi bergantung pada keadaan. Kadang-kadang saya duduk dalam bilik itu selama enam jam dan adakalanya empat jam. Tak tentu.

“Tetapi, saya akan pastikan yang tidak ada orang lain masuk ke dalam bilik kawalan kerana bilik itu tidak berkunci,” katanya sambil menambah kunci tidak dibekalkan kepadanya.

Selain itu, Ismail berkata, pada petang 5 April, dia ada menekan butang di salah sebuah perakam dalam bilik kawalan tetapi tidak pasti saman ada itu merupakan punca video tidak bergerak.

“Saya buat kerja seperti biasa. Saya memang akan tekan satu butang untuk tengok masa dan rakaman apa yang dah berlaku. Semasa saya tekan, video sudah tidak bergerak. Jadi, apabila video sudah tidak berfungsi pada waktu petang, memang sampai esok tidak akan berfungsi,” ujarnya.

“Saya tekan perakam yang nombor satu, tidak bergerak. Saya tekan yang nombor dua juga tidak bergerak. Jadi saya tidak tekan perakam yang nombor tiga. Tak sangka pula yang nombor tiga itu berfungsi,” katanya lagi.

Sebelum ini, saksi ketiga inkues kematian Sarbaini memberitahu terdapat gangguan pada dua unit kamera litar tertutup (CCTV) pada hari penolong pengarah Kastam Diraja Malaysia itu ditemui mati.

Juruanalisis bahagian audio dan video makmal forensik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras ASP Fauziah Che Ismail berkata, terdapat tiga perakam video digital (DVR) yang dianalisisnya, terdiri daripada rakaman antara pukul 8 hingga 11 pagi 6 April lalu.

“Hasil daripada analisis ketiga-tiga DVR ini, saya dapati DVR 1 dan DVR 2 pada tarikh 6 April tidak merakamkan apa-apa dari pukul 8 hingga 11 pagi.

“Bagaimanapun DVR 3, saya memperoleh rakaman imej si mati yang dirakamkan pada pukul 8.30 pagi,” kata beliau ketika menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya Nor Amalina Ismail.

Sementara itu, Pengarah SPRM Kuala Lumpur Mohamad Yusoff Akope pula berkata CCTV yang terdapat di pejabat suruhanjaya tersebut di sini memang mempunyai masalah sejak mula ia beroperasi sekitar Februari.

Mohamad Yusoff, 52 berkata dia telah dimaklumkan mengenai beberapa masalah berkaitan CCTV pada mesyuarat sebelum dari tarikh kejadian.

Katanya bangunan SPRM tersebut mula digunakan pada bulan November 2010 dan CCTV hanya mula beroperasi pada Februari 2011 di bilik kawalan yang terletak di aras bawah bangunan tersebut.

“Mengikut prosedur kerosakkan CCTV perlu dilaporkan dan Timbalan Pengarah Operasi, Ketua Penolong Kanan Pesuruhjaya, Jaafar Husin pegawai pernah melaporkan berkaitan kegagalan CCTV mencerap beberapa kawasan dan ‘salah tekan’ yang berlaku ketika pengendalian sistem itu.

“Saya dimaklumkan Bahagian Keselamatan bahawa masalah itu disebabkan oleh ‘human error’ dan telah diberitahu bahawa Pegawal Keselamatan bertugas ingin melihat rakaman sebelumnya dan tidak sedar tertekan suis on/off. Ia di ditekan semula oleh pengawal lain yang bertugas ke esokkan harinya selepas menyedari perkara tersebut,” katanya.

Inkues yang bermula kelmarin akan disambung pagi esok.

Tiada ulasan: