KUALA LUMPUR– Seorang penolong kanan Kastam memberitahu mahkamah koroner bahawa Allahayrham Ahmad Sarbaini Mohamed pernah mengaku ada menerima sogokan sebab takut akan “tidur di lokap.”
Ahmad Maher Abdul Jalil, 51, memberitahu bahawa Sarbaini berkhidmat di bawah penyeliaan beliau sejak Ogos lalu.
“Saya ada bertemu dengan dia (Sarbaini) pada 4 April dan telah diberitahu mengenai pengakuan menerima rasuah dan keadaan di dalam lokap,” katanya lagi.
“Apabila saya bertanya mengenai dia membuat pengakuan, dia berkata dia mengaku kerana takut tikur di lokap,” kata beliau hari ini.
Menurut Maher, Sarbaini ada memberitahu bahawa lokap terlalu sesak dan bilik air pula tidak begitu selesa.
“Saya memberitahu dia bahawa satu kesilapan apabila membuat pengakuan bagi perkara yang dia tidak dilakukan.
“Tetapi, pada 5 April dia berkata ‘berani buat berani tanggung’ dalam konteks pengakuan, dan bukannya rasuah,” kata beliau.
Maher juga berkata Sarbaini pernah mengatakan ada mengambil rasuah RM30 tetapi jumlahnya tidak sepadan dengan jawatan yang disandang.
Sarbaini ada membuat pengakuan menerima antara RM50 dan RM100 sebulan daripada pegawai Schenker Logistics (Malaysia) Sdn Bhd, Wan Zainal Abidin Wan Zaki dan juga antara RM30 dan RM200 sebulan daripada pegawai Top Mark Freight & Shipping Sdn Bhd yang dikenali sebagai Ah Seng.
Dalam pada itu saksi ke-20, Azman Jusoh, 45, penolong pengarah Kastam yang merupakan rakan sepermainan tenis Sarbaini juga menyokong keterangan Maher.
“Apabila saya pergi ke pejabat dia untuk bermain tenis pada 1 April, saya diberitahu oleh kawan-kawannya bahawa dia telah dibawa ke SPRM untuk disoal siasat.
“Pada keesokan hari, dia memanggil saya untuk bermain tenis pada Ahad, 3 Apri,” katanya.
Pada masa itu, Sarbaini memberitahunya pengalaman berada di lokap.
“Dia memberitahu saya bahawa dia telah dihina oleh pegawai-pegawai SPRM dan dia tidak layan untuk mengenakan pakaian Kastam,” kata Azman lagi.
Kemudian Sarbaini dibawa ke balai polis Bukit Jalil.
Azman berkata Sarbaini ada menghubunginya pada 4 April dan memaklumkan bahawa dia berada di pejabat SPRM tetapi tidak bertanya mengapa.
“Dia kelihatan letih ketika itu,” katanya.
Azman bertemu dengan Sarbaini pada 5 April di gelanggang tenis pada pukul 6.15 petang dan mendapati Allahyarham kelihatan normal.
Pada pukul 5.30 pagi 6 April, Azman berkata Sarbaini ada menghubunginya dan mahu pergi ke pejabatnya.
Katanya panggilan itu kali pertama Sarbaini menghubunginya awal pagi.
“Dia ada memberitahu saya bahawa dia mahu pergi semula ke SPRM untuk mengubah pengakuan tetapi tidak memberitahu saya butiran. Dia kelihatan risau apabila dia berkata dia mahu mengubah pengakuannya kerana bimbang akan ditahan semula,” kata Azman lagi.
Dalam pada itu, pegawai siasatan SPRM Penguasa Abdul Ghani Ali pula mengakui ada menelefon anak Allahyarham bernama Syahril untuk memberi maklum balas mengenai dua buku simpanan milik anak Allahyarham.
Katanya, ketika perjumpaan bersama isteri Allahyarham, Maziah Manap pada 28 April lalu di Pejabat Kastam Lapangan Terbang Subang, isteri arwah ada memaklumkan beliau mengenai dua buku akaun anaknya yang tidak dipulangkan semula.
“Saya telefon untuk beritahu bahawa setelah dicari dan berdasarkan akuan sita dua buku akaun Nuri anak arwah yang dimaklumkan isterinya pada 28 April, tiada (tidak disita).
“Pada 29 April, saya tidak ada nombor isterinya, tetapi berdasarkan rakaman percakapan ada nombor telefon dan saya hubungi untuk beritahu perkara tersebut.
“Bila dihubungi nombor itu, pemilik talian maklumkan dia anak arwah dan berada di Pulau Pinang. Saya kata OKlah dan letak,” katanya saksi ke-18 inkues kematian Sarbaini.
Maziah dalam keterangannya pada hari pertama inkues memaklumkan bahawa Ghani ada mengatakan “bukan saya, orang saya” dan mendakwa ia menunjukkan Ghani tahu sesuatu.
Bagaimanapun Ghani menafikan kenyataan itu dan nyatakan pada mahkamah bahawa Maziah bertanya padanya sama ada Allahyarham ada berjumpa Ghani pada hari kejadian.
“Saya kata bukan saya, pegawai saya, kerana arwah berjumpa Sheikh Niza pada hari tersebut.
“Saya tidak pernah sebut ‘orang saya’ tetapi saya sebut ‘pegawai saya’ kerana saya sendiri pegawai biasa,” katanya ketika menjawab soalan timbalan pendakwa raya, Mohamad Abazafree Abbas.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan