Rabu, 20 Julai 2011

Razali Abd Rahim Johan Bakat TV 2011

THE MALAYSIAN INSIDER

KUALA LUMPUR— Razali Abd Rahim, 26, dinobatkan juara, sekali gus melayakkan dia dianugerah Bakat Baru Paling Popular, selepas menumpaskan tujuh peserta lain pada Malam Kemuncak Inspirasi Bakat TV 2011.

Mempertaruhkan bakat bermain perkusi daripada barangan terpakai, anak kelahiran Sabah itu menggondol hadiah wang tunai RM30,000 serta barangan tajaan Figos, trofi dan sijil penyertaan.

Menurut laporan Berita Online, kumpulan vokal berkumpulan, Putera, pula diumumkan sebagai naib johan untuk membawa pulang wang tunai RM15,000 serta barangan tajaan Figos, trofi dan sijil penyertaan.

Kumpulan tarian Warisan Seni Negeri Sembilan meraih tempat ketiga untuk menerima wang tunai RM10,00 serta barangan tajaan Figos, trofi dan sijil penyertaan.

Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim menyampaikan hadiah kepada pemenang.

Seramai lapan peserta berentap pada persembahan terakhir malam ini selepas bersiaran selama enam minggu menerusi siaran langsung dari Auditorium Perdana, Angkasapuri di saluran RTM2.

Sebanyak lima kategori dipertandingkan iaitu bakat tarian solo atau berkumpulan, nyanyian berkumpulan, silap mata, ‘ventriloquism’, komedi berdiri dan bakat alatan muzik.

Peserta lain termasuk Mustar-E (vokal), No Noise (kumpulan muzik), Stop Reverse Crew (kumpulan muzik), Christopher Aban (solo muzik) dan Fariz Hilmi (silap mata).

Bakat TV, program realiti terbitan Radio Televisyen Malaysia (RTM)bermatlamat mencungkil bakat baru di kalangan rakyat Malaysia berumur lima tahun ke atas.

Tiada ulasan: