Jumaat, 1 Julai 2011

Rasuah mata wang: Bekas penolong gabenor Bank Negara dicaj terima RM100,000

TERKINI


Mohamad Daud Dol Moin



KUALA LUMPUR — Bekas penolong gabenor Bank Negara Datuk Mohamad Daud Dol Moin pagi ini didakwa berhubung kesalahan rasuah melibatkan kontrak mencetak mata wang polimer yang dianugerahkan kepada sebuah firma Australia antara 2003 dan 2007.

Mohamad Daud menghadapi tuduhan menerima RM100,000 daripada Abdul Kayum Syed Ahmad dalam dua kejadian iaitu sebanyak RM50,000 pada 1 Disember 2004 dan baki RM50,000 pada 16 Februari 2005 di sebuah kafe di Bangsar Shopping Centre.

Dia dikenakan tuduhan di bawah Seksyen 11(a) Akta Pencegahan Rasuah 1997.

Abdul Kayum akan berhadapan dengan tuduhan berasingan memberi habuan kepada Mohamad Daud di Mahkamah Tinggi Shah Alam selepas ini.

Sementara itu, dalam satu kenyataan dikeluarkan, SPRM berkata pihaknya telah menjalankan siasatan terperinci berhubung kes ini dengan kerjasama dan bantuan penuh Bank Negara.

Katanya, di bawah tuduhan pertama, Mohamad Daud didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 11(a) Akta Pencegahan Rasuah 1997 kerana menerima suapan wang tunai RM50,000.00 daripada Abdul Kayum melalui seorang perantara untuk membantunya mendapatkan kontrak mencetak wang polimer RM5 oleh Note Printing Australia Limited.

Tertuduh tidak mengaku salah terhadap semua pertuduhan dan minta dibicarakan.

Tertuduh diwakili oleh J.D. Goonting dan Collin Goonting manakala pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya Manoj Kurup dari Jabatan Peguam Negara.

Tertuduh dibebaskan dengan wang jaminan sebanyak RM100,000 dengan Hakim Rosbiahanin Arifin menetapkan 2 Ogos ini untuk perbicaraan.

Jika disabitkan kesalahan, kedua-dua tertuduh boleh dihukum penjara tidak kurang daripada 14 hari dan tidak lebih daripada 20 tahun, dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan.

SPRM juga berkata pihaknya telah mula menjalankan siasatan berhubung kes ini pada Mei tahun lalu serentak dengan tindakan Polis Persekutuan Australia.

“Polis Persekutuan Australia hari ini turut sama membuat pertuduhan di mahkamah Australia terhadap dua syarikat milik Australia dan enam individu berkaitan konspirasi rasuah terhadap pegawai-pegawai awam di negara Indonesia, Vietnam, Nigeria termasuklah Malaysia dari 1999 hingga 2005 bertujuan memperoleh kontrak percetakan wang kertas di negara-negara berkenaan.

“Kes ini merupakan pendakwaan yang pertama di Australia di bawah penggubalan undang-undang rasuah asing pada 17 Disember 1999,” katanya.
Bank Negara telah menandatangani kontrak membeli nota mata wang polimer RM5 daripada Note Printing Australia Limited bermula pada Disember 2003 sehingga Oktober 2007.

Sepanjang tempoh tersebut, bank pusat telah membuat tempahan sebanyak 390 juta keping dan pembayaran yang telah dibuat adalah sebanyak RM95 juta.

Kenyataan SPRM juga berkata siasatan telah dijalankan seiring tindakan pihak penguat kuasa antarabangsa yang lain termasuklah Biro Siasatan Antarabangsa, Polis Diraja Kanada, Suruhanjaya Bebas Anti Rasuah Hong Kong, Pejabat Penyelewengan Serius dari United Kingdom, Biro Mencegah Rasuah Brunei dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Indonesia.

Dalam pada itu, Abdul Kayum, 62, yang merupakan pengarah Aksavest Sdn Bhd, dikenakan tuduhan di Mahkamah Khas Jenayah Rasuah Shah Alam atas dua tuduhan kerana memberi wang suapan RM100,000, masing-masing RM50,000 dalam dua transaksi kepada Mohamad Daud.

Menurut tuduhan, wang itu diberikan bagi memperoleh kontrak percetakan wang kertas polimer RM5 untuk Note Printing Australia Limited.

Menurut kenyataan SPRM, bagi tuduhan pertaman, tertuduh yang juga ejen Note Printing Australia Limited di Malaysia didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 11(b) Akta Pencegahan Rasuah 1997 iaitu memberi suapan secara tunai RM50,000 pada 24 November 2004 di EON Bank cawangan Jalan Taipan, Subang Jaya, dan kemudian pada 15 Februari lalu di tempat yang sama.

Sekiranya disabitkan dengan kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara tidak kurang daripada 14 hari dan tidak lebih 20 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Tertuduh mengaku tidak bersalah terhadap semua tuduhan dan minta untuk dibicarakan.

Dia diwakili oleh peguam Gurbachan Singh dan Manjeet Singh Dhillion.

Kes membabitkan tertuduh kedua ini didengar oleh Hakim Asmadi Husin.

Hakim menetapkan wang jaminan sebanyak RM50,000.00 bagi kedua-dua tuduhan dengan seorang penjamin.

Kesnya juga akan didengar pada 2 Ogos ini.

Tiada ulasan: