Isnin, 4 Julai 2011

Presiden Mahkamah Rayuan bersara awal mulai 6 Ogos

BERNAMA


Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Alauddin Mohd Sheriff akan bersara awal mulai 6 Ogos depan, setahun lebih awal dari tarikh persaraan wajib.

Alauddin, yang akan mencapai usia 65 tahun pada 7 Ogos, bagaimanapun akan mula bercuti esok.

Jabatan Kehakiman mengadakan majlis jamuan meraikan persaraan beliau hari ini di Dewan Bankuet di Istana Kehakiman yang dihadiri Ketua Hakim Negara Tun Zaki Azmi, Hakim Besar Malaya Tan Sri Arifin Zakaria, hakim-hakim Mahkamah Persekutuan dan Mahkamah Rayuan dan staf.

Alauddin dilantik ke jawatan nombor dua dalam kehakiman itu pada 18 Oktober, 2008 mengambil tempat Zaki yang dilantik sebagai Ketua Hakim Negara.

Beliau dilantik pesuruhjaya kehakiman pada 1 Feb 1992 dan dinaikkan pangkat kepada hakim Mahkamah Tinggi enam bulan kemudian.

Beliau menjadi hakim Mahkamah Rayuan pada April 2001 dan Hakim Mahkamah Persekutuan pada 12 Julai 2004. Beliau kemudian dilantik sebagai hakim besar Malaya pada 5 September 2007.

Dilahirkan di Kulim, Kedah, Alauddin mengikuti pengajian undang-undang di Inner Temple, London.

Beliau berkhidmat sebagai majistret dan presiden Mahkamah Sesyen di Bukit Mertajam, Kangar, Sungai Petani, Kuantan dan Taiping antara 1971 dan 1976.

Beliau juga pernah berkhidmat di Jabatan Peguam Negara dari 1977 hingga 1980, selain berkhidmat sebaga penasihat undang-undang negeri di Johor dan Negeri Sembilan dan dipinjamkan ke Petronas Carigali sebagai setiausaha dan penasihat undang-undang.

Pada Jun 1989, beliau dilantik pengerusi lembaga penasihat di Jabatan Perdana Menteri.

Alauddin berkahwin dengan Puan Sri Munirah Hj Abd Rahman dan mereka dikurniakan tiga orang anak.


Tiada ulasan: