Sabtu, 9 Julai 2011

Polis menyemak bilik hotel sekitar Lembah Klang

MerdekaReview


Polis mula membuat sekatan di sekitar jalan utama yang memasuki bandar Kuala Lumpur, sebagai persediaan untuk menghalang perhimpunan BERSIH 2.0. Malah, mulai jam 11 malam, telah dikhabarkan bahawa polis meronda dan menyemak dari bilik ke bilik di hotel-hotel sekitar Lembah Klang.

Ahli Jawatankuasa Hak Asasi Majlis Peguam Malaysia, H.R.Dipendra yang menginap di Hotel Swiss, Jalan Tunku Abdul Rahman, memberitahu MerdekaReview bahawa polis mula menyemak dari bilik ke bilik di situ pada kira-kira jam 11, malam tadi.

Menurut H.R.Dipendra, dua orang anggota polis lelaki dan dua orang polis wanita mengetuk pintu bilik di hotel yang beliau menginap. Bilik yang bertentangan dengan biliknya disemak. Bagaimanapun, polis tidak menyemak biliknya, dan beliau juga tidak tahu sebab polis berbuat demikian.

Di samping itu, ahli parlimen Serdang Teo Nie Ching memaklumkan dalam Facebooknya bahawa Hotel Subang Valley yang didiami ADUN Ayer Keroh, Khoo Poay Tiong juga disemak polis. Polis masuk menyemak biliknya, namun tidak berbuat apa-apa. Beliau mempercayai ini kerana biliknya tidak mempunyai baju "BERSIH".

BERSIH 2.0 akan mengadakan perhimpunan yang menyasarkan ratusan ribu orang peserta pada jam 2 petang, 9 Julai di Stadium Merdeka. Penyokong BERSIH 2.0 diseru untuk memasuki ke dalam bandar seawal mungkin kerana dijangkakan bahawa polis akan menyekat beberapa jalan utama yang masuk ke pusat bandar.


Tiada ulasan: