Khamis, 7 Julai 2011

PM Najib digesa arah Stadium Negara benarkan Bersih

THE MALAYSIAN INSIDER


KUALA LUMPUR — Bersih meminta Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak agar mengarahkan pengurusan Stadium Merdeka membenarkan pihaknya menggunakan premis itu bagi tujuan perhimpunan pada Sabtu ini menuntut pembaharuan pilihan raya bebas dan adil.

Gabungan itu berkata satu pertemuan dengan polis telah dijelaskan bahawa salah satu daripada 62 anggotanya boleh memohon mendapatkan permit polis jika boleh menempah Stadium Merdeka.

“Bersih 2.0 meminta agar Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak bercampur tangan dan mengarahkan pengurusan Stadium Merdeka mengeluarkan satu surat kelulusan bagi menggunakan Stadium Merdeka bagi Himpunan Bersih 2.0 pada 9 Julai 2011 (Sabtu ini).

“Ini selari dengan janji kerajaan untuk menyediakan kami dengan stadium bagi perhimpunan,” kata jawatankuasa pemandu Bersih 2.0 dalam satu kenyataan petang ini.

Gabungan itu berkata Pengerusi Bersih 2.0 Datuk Ambiga Sreenevasan telah mengadakan pertemuan dengan Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar dan menekankan tentang hasrat mereka mahu mengadakan perhimpunan di Stadium Merdeka dan meminta polis agar membebaskan kesemua mereka yang ditahan setakat ini.

Malah gabungan itu juga meminta polis tidak menahan lagi penyokong-penyokong Bersih 2.0.

Polis menegaskan Bersih 2.0 kekal sebuah pertubuhan haram sejak 1 Julai lalu.

Tiada ulasan: