Jumaat, 8 Julai 2011

Permohonan permit Bersih ditolak

Harakahdaily


KUALA LUMPUR: Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi menolak permnohonan Bersih untuk berhimpun di Stadium Merdeka esok dengan alasan permohonan itu tidak lengkap.

Bagaimanapun IPD Dang Wangi meminta Bersih yang diwakili salah satu NGO nya Empower diminta merayu kepada Ibu Pejabat Kontinjen Kuala Lumpur di Pudu jika mahu membuat rayuan atas penolakan itu.

Ahli jawatankuasa pemandu Bersih Maria chin yang datang ke IPK bagi pihak Bersih dan Empower memaklumkan perkara ini kepada pemimpin pas.

Sebelum ini, IPD Dang Wangi menghubungi Bersih untuk datang mengambil permit perhimpunan itu itu.

Mendapat berita yang "menggembirakan" itu, Bersih menulis pada laman sosialnya di Facebook dan Twitter, memberitahu mereka diminta datang ke balai polis Dang Wangi Kuala Lumpur untuk mengambil permit bagi mengadakan perhimpunan di Stadium Merdeka, esok.

“BERITA BAIK! Balai Polis Dang Wangi telefon Bersih, minta kami datang ambil permit untuk himpunan aman di Stadium MERDEKA! Kini terserah kepada PM & Pengurusan Stadium Merdeka untuk membuat langkah sepatutnya,” tulis Bersih.

Bagaimanapun kira-kira setengah jam kemudian, mereka menjelaskan terdapat salah faham berhubung perkara itu.

Setibanya di IPD Dang Wangi tiba, Maria dimaklumkan berlaku salah faham dan permit tidak dapat diluluskan kerana dokumen tidak lengkap.

Penafian turut dibuat Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur Senior Asisten Komisioner Datuk Amar Singh Ishar Singh.

Beliau menafikan Bersih telah diberikan permit bagi mengadakan perhimpunan mereka di Stadium Merdeka, esok.

Sehubungan itu, satu sidang media khas dijangka akan dibuat Bersih petang ini.

Tiada ulasan: