Jumaat, 1 Julai 2011

PERKASA: Tutup jambatan, jika demo diteruskan

BERNAMA


Lebih 10 pertubuhan bukan kerajaan di Pulau Pinang merancang mengadakan perhimpunan di Jambatan Pulau Pinang pada 8 Julai ini jika perhimpunan haram yang dirancang pada 9 Julai diteruskan, kata yang dipertua PERKASA Pulau Pinang, Datuk Ahmad Saad.

NONEKatanya, tindakan itu sebagai membantah perhimpunan haram berkenaan yang ternyata hanya akan menyusahkan semua pihak.

"Kalau mereka tidak membatalkan perhimpunan 9 Julai ini, kita akan mengadakan perhimpunan di Jambatan Pulau Pinang pada 8 Julai. Kita boleh buat.

"Biar siapa pun tak boleh masuk atau keluar (Pulau Pinang). Kita tengok siapa yang akan susah," katanya dalam sidang media di George Town hari ini.

Beliau berkata ketika itu, semua pihak yang berhasrat menyertai perhimpunan haram akan tahu dan sedar bahawa tindakan mereka itu boleh menjejaskan semua pihak.

"Kami rayu Ambiga (Datuk Ambiga Sreenevasan) dan kumpulannya supaya membatalkan perhimpunan haram itu," katanya.

Ahmad berkata perhimpunan haram itu tidak perlu diadakan kerana terdapat pelbagai medium yang boleh digunakan oleh semua pihak untuk menyatakan ketidakpuasan hati mereka.

Beliau juga mendesak kerajaan menahan golongan yang merancang perhimpunan haram itu bagi mengelak daripada perhimpunan itu diteruskan.

Antara NGO yang hadir pada sidang media hari ini ialah Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Pertubuhan Suara Anak-anak Malaysia dan Persatuan Melayu Tanjong.


Tiada ulasan: