Khamis, 7 Julai 2011

Perhimpunan BERSIH 2.0: Perjuangan yang Terkubur atau Tertangguh?

Chong Fah Hing


Rapat perarakan BERSIH 2.0 akhirnya terpaksa dibatalkan dan digantikan dengan perhimpunan dalam stadium tertutup. Demikianlah perkembangan terbaru perarakan jalanan yang tidak kurang kejutannya bagi sesetengah pihak. Perkembangan yang dianggap sebagai anti-klimaks ini sebenarnya tidak sukar dicongak kerana pada episod akhir peristiwa tersebut, pemimpin BERSIH sebenarnya telah terjebak lalu terikat dengan rentak dan tata permainan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa. Justeru, tidak hairanlah titah Yang di-Pertuan Agong seolah-olah menjadi suatu isyarat penyelamat yang terakhir atau sebagaimana kata pepatah Inggeris the last straw to clutch at buat pemimpin BERSIH, terutamanya pada saat-saat getir menanggung tekanan yang bukan kepalang daripada pihak berkuasa.

Namun pada pandangan intelektual dan pengkritik masyarakat Cina, keputusan barisan pimpinan BERSIH rata-rata dilihat sebagai tunduk kepada desakan pihak berkuasa. Dan gejala "jiao ruan" (secara literalnya sindrom semput kaki atau bermaksud mengalah pada saat-saat terakhir) sedikit sebanyak menunjukkan keterbatasan dan kelemahan cara perjuangan pertubuhan NGO yang mewakili kepentingan dan hak masyarakat madani selaras dengan peruntukan yang termaktub dalam Perlembagaan Negara. Malah ada pihak tertentu meramalkan perjuangan masyarakat madani pada masa mendatang akan bertambah sukar ekoran precedent "jiao ruan" tadi. Rata-rata juga berpendapat bahawa perhimpunan yang beralih ke stadium tertutup tidak harus disamakan dengan perjuangan perarakan jalanan kerana keputusan berkompromi adalah dibuat secara sulit tanpa konsensus daripada golongan terbanyak yang menyahut seruan pihak BERSIH untuk berkumpul pada tarikh yang diputuskan pada awalnya.

Dengan kata lain, sebahagian penyokong tegar perjuangan BERSIH 2.0 mungkin amat kecewa dengan tindakan pimpinan BERSIH. Persoalan yang menjadi perhatian ramai sekarang ialah: Bagaimanakah kekecewaan itu boleh terlampias menurut saluran yang betul agar ia tidak membawa mudarat kepada masyarakat dan negara.

Inisiatif kelas pertengahan yang manfaatkan golongan pinggiran

Tidak salah jika dikatakan bahawa rapat perarakan BERSIH adalah inisiatif golongan pertengahan dalam masyarakat yang ingin melihat perubahan pada super struktur mekanisme berpolitik yang diamalkan di Malaysia selama ini. Dilihat dari sudut ini, penyertaan orang terbanyak barangkali lebih bersifat pasif. Memang tidak dinafikan lapan tuntutan yang dikemukakan oleh BERSIH adalah murni. Tetapi apa yang menjadi kemusykilan ialah apakah golongan terbanyak benar-benar menghayati lapan tuntutan yang kedengaran gah itu,dibandingkan dengan permasalahan yang secara langsung mencengkam hidup mereka.

Antara lain termasuk peluang pekerjaan, pendapatan yang semakin susut nilainya, harga barangan yang melambung tinggi dan peluang sama rata bagi anak-anak miskin menerima pendidikan tinggi. Kehadiran perarakan BERSIH 2.0 sekali gus memberikan kesempatan kepada golongan tersebut untuk menyuarakan rintihan dan ketidak-puasan terhadap permasalahan yang membelenggu mereka sekian lama. Pendeknya, anjuran perarakan BERSIH telah dimanfaatkan oleh golongan pinggiran sebagai pentas untuk menyatakan matlamat perjuangan masing-masing. Walaupun kecenderungan tersebut tidak bercanggah dengan matlamat akhir perjuangan BERSIH, iaitu tuntutan untuk pilihan raya yang bersih dan adil (electoral reform), namun tidak dinafikan terdapat harapan yang berbeza terhadap matlamat yang diperjuangkan.

Sepanjang perkembangan peristiwa tersebut, timbul pelbagai gejala yang menuntut renungan kita bersama. Pertamanya berkenaan cara sesetengah pihak menanggapi gagasan demokrasi mengikut erti kata yang sebenar-benarnya serta sikap yang ditunjukkan. Daripada peristiwa kali ini, dapat dirumuskan bahawa sesetengah rakyat Malaysia masih belum bersedia menerima amalan demokrasi yang lebih sihat dan bermaruah sesuai dengan perkembangan sejarah tanah air.

Mentaliti dunia ketiga

Kita lihat nilai dan erti demokrasi bukan sahaja dicemuh malah dimomok sebagai ciptaan Barat yang lebih banyak membawa mudarat daripada kebaikan. Tanggapan sedemikian rupa amat mengelirukan dalam konteks pasca kolonial sejarah Malaysia yang tidak habis-habis mengejar proses pemodenan ala Barat sejak zaman Tunku Abdul Rahman hinggalah era pemerintahan Najib pada masa kini. Proses tersebut mencapai kemuncaknya pada zaman Mahathir Mohamed di mana rakyat menyaksikan pelbagai projek mega yang kononnya menjadi mercu tanda kejayaan Malaysia era baru.

Hakikatnya, dari segi penyelenggaraan dan penjagaan menunjukkan kita masih tidak dapat lari daripada mentaliti dunia ketiga. Umpamanya kita seringkali disuguhkan dengan berita tentang bangunan tersergam gah dan indah tetapi tandasnya tersumbat, tak berair atau tak terurus. Begitu juga sesetengah jalan raya dalam bandaraya kosmopolitan Kuala Lumpur tidak lekang dengan berita bah sebaik sahaja kunjungan hujan lebat. Tidak cukup dengan itu, baru-baru ini rakyat Malaysia dikejutkan dengan berita bumbung stadium runtuh dan ranap, dewan Parlimen dan mahkamah bergenang air dan bermacam-macam perkara yang aneh-aneh.

Dalam keghairahan pemimpin kita mengejar kemodenan berbentuk fizikal, kita sebenarnya hanya mengecapi dan menghayati proses pemodenan Barat secara kulitan sahaja. Cara berfikir dan tanggapan kita terhadap institusi yang menunjangi kekuatan negara-negara Barat itu jarang-jarang kita fikirkan. Dalam hal ini pemimpin kita masih amat menakuti politik demokrasi tulen, malah permintaan untuk berunding ditolak mentah-mentah tanpa memikirkan kematangan budaya dan ketamadunan yang harus dipupuk dalam segala aspek kehidupan rakyat bagi menghadapi hari- hari mendatang yang semakin mencabar.

Kedua, kegagalan pemimpin BERSIH menepis serangan yang dilakukan oleh pihak terbabit lebih-lebih lagi serangan yang berbentuk hasutan. Ini mengakibatkan penyokong dan khalayak umum terkapai-kapai mencari pegangan akibat pendirian pemimpin tidak kurang jelas. Ambiga terus-menerus menghadapi serangan peribadi dan tohmahan yang bertalu-talu. Dalam hal ini, adalah jelas bahawa iklim demokrasi dan cara berpolitik di Malaysia masih jauh terbelakang dibandingkan dengan negara jiran seperti Indonesia, Thailand dan Singapura, apatah lagi kalau dibandingkan dengan Hong Kong dan Taiwan.

Karya sastera dijadikan senjata berbisa

Suatu perkara yang kurang diberi perhatian dalam peristiwa kali ini ialah penglibatan seniman atau sasterawan dalam perhimpunan yang direncanakan itu. Soal-siasat pihak polis terhadap Sasterawan Negara A. Samad Said mengingatkan kita bahawa karya sastera mula dianggap oleh pihak berkuasa sebagai senjata yang berbisa.

"Saya pikir puisi sekarang sudah diterima sebagai alat yang berkesan, sebagai senjata."

Demikianlah spontan luahan rasa A. Samad Said ketika dipanggil oleh pihak polis untuk disoal-siasat sesudah beliau menghadiri majlis pelancaran BERSIH 2.0 pada 19 Jun lalu. A. Samad Said atau lebih mesra dengan panggilan Pak Samad, disiasat di bawah Seksyen 4(1) (b) Akta Hasutan dan Seksyen 27 (5) Akta Polis berhubung pengucapan puisinya di majlis tersebut. Pernyataan A. Samad Said membayangkan kepekaan dan perseptif yang tinggi seorang sasterawan terhadap perubahan di alam sekelilingnya.

Secara terus-terang beliau menambah, "Barangkali (polis) memberi amaran, tapi itu kalau seorang sasterawan, ini sememangnya lebih mendorongnya, menaikkan semangatnya oleh kerana mereka mulai tahu kesusasteraan mempunyai kuasa juga."

Ucapan dan kata-kata Pak Samad senantiasa merangsang minda dan menginsafkan. Pada awal tahun 2009, demi menyeru orang ramai menyahut bantahan terhadap dasar pengajaran mata pelajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI), Pak Samad yang sudah berusia 74 tahun turut serta dalam program "Kembara Kasih Bahasa" ke seluruh negara. Pada majlis perhimpunan di rumah kediaman rasmi Menteri Besar Kedah, beliau menyelar sikap sesetengah politikus yang berpolitik semata-mata untuk menang undi dan kuasa saja. Pada ketika itulah baru mereka menggunakan bahasa Melayu. Sesudah tujuan mereka tercapai langsung dibuangkan bahasa ibu.

Bidasan beliau memang menusuk. Sebagai seorang sasterawan tulen, Pak Samad senantiasa berada di tengah-tengah khalayak, pada masa yang sama di luar bingit suara orang ramai. Perwatakan dan ketulusan sikap beliau menjadikan beliau amat mudah didekati. Beliau juga adalah sasterawan yang bervisi dan mempunyai pertimbangan moral yang sangat ketara terhadap segala gejala sosial. Tatkala wartawan melontarkan pertanyaan kepada Pak Samad berkenaan perhimpunan bakal mengganggu aktiviti ekonomi malah mengundang huru-hara. Jawapan Pak Samad cukup mudah, sekaligus membayangkan kearifan seorang sasterawan membuat pertimbangan yang jitu dalam situasi yang amat kontradiksi.

Antara banyak-banyak jawapan yang secara luarannya memang betul pun, Pak Samad telah membuat pilihan berdasarkan prinsip "tangani isu besar ketepikan isu kecil". Demikianlah jawapan Pak Samad, "Memang itu ditimbulkan. Katanya kehuru-haraan, ada orang nak berniaga...... Tapi orang harus memahami cita-cita kita jugak. Orang mesti ada rasa......bersedia untuk berkorban kepada sesuatu yang akan membela nasib mereka." Suatu respons yang lahir dari jiwa yang tulus-ikhlas dan cukup prihatin terhadap permasalahan masyarakat dan negara.

Malanganya, bagi pemegang amanah kuasa, pengucapan sasterawan turut dianggap sebagai tabu dan dianggap sebagai perbuatan terlarang. Niat suci Pak Samad untuk memugar tanah demokrasi ditafsirkan oleh pihak berkenaan sebagai hasutan yang bisa mengeruhkan suasana. Walaupun kenyataan empat orang rakan Sasterawan Negara agak terlewat (dikeluarkan pada 5 Julai), namun kebebasan menulis dan bersuara Pak Samad tetap mendapat perhatian.

Di samping menggesa kerajaan membebaskan semua tahanan yang bersabit dengan perhimpunan BERSIH 2.0, kenyataan tersebut turut menegaskan kebebasan menulis dan bersuara adalah di bawah jaminan amalan demokrasi. Sebagai renungan, marilah kita menghayati dan menyelami mesej yang terkandung dalam puisi Pak Samad:

Unggun Bersih

Semakin lara kita didera bara-
kita laungkan juga pesan merdeka;
Demokrasi sebenderang mentari,
Sehasrat hajat semurni harga diri.

Lama resah kita-demokrasi luka,
lama duka kita, demokrasi lara.

Demokrasi yang angkuh, kita cemuhi,
Suara bebas yang utuh, kita idami!

Dua abad lalu Sam Adams berseru:
(di Boston dijirus teh ke laut biru)
Tak perlu sorak gempita sorak yang gebu,
diperlu hanya unggun api yang syahdu.

Kini menyalalah unggun sakti itu,
Kini merebaklah nyala unggun itu.

Begitulah hakikatnya. Seorang sasterawan yang tulen tidak bisa lari daripada menyentuh hal-hal yang bersabit dengan kepentingan khalayak umum. Dan ini tentunya membawa sasterawan berdepan dengan perkara-perkara yang berkaitan dengan siasah. Pak Samad menyedari perkara ini dan sanggup turun padang bersama rakyat, menjadikan perjuangan demokrasi di Malaysia lebih bermakna.

*Chong Fah Hing adalah Pensyarah Kanan di Jabatan Bahasa Asing, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia. Beliau juga menulis di ruangan pojok MerdekaReview edisi Bahasa Cina.

Tiada ulasan: