Rabu, 20 Julai 2011

Pengguna Touch ‘n’ Go boleh tebus rebat tol dua kali sebulan

THE MALAYSIAN INSIDER

KUALA LUMPUR– Pengguna-pengguna kad Touch ‘n’ Go boleh menebus rebat tol sebanyak dua kali sebulan iaitu setiap 5 hingga 15 haribulan dan dari 23 haribulan hingga hujung bulan.

Ketua Pegawai Eksekutif Touch and Go Sdn Bhd Hasni Zarina Mohamed Khan berkata melalui Program Pengguna Kerap 1Malaysia itu, pengguna lebuh raya yang membayar tol menggunakan kad Touch ‘n’ Go layak mendapat penebusan rebat tol sebanyak 20 peratus dengan penggunaan minimum 80 kali sebulan.

“Langkah penjadualan semula ini bertujuan memudahkan fasa pemprosesan sejumlah besar data transaksi Touch ‘n’ Go yang diterima, bagi mengira jumlah rebat yang layak dituntut oleh pengguna.

“Ini penting bagi memastikan peningkatan dalam jumlah transaksi tidak mengganggu proses penebusan rebat oleh para pengguna,” katanya dipetik laporan Bernama Online.

Beliau berkata semua jenis kad Touch ‘n’ Go yang memenuhi syarat penggunaan minimum layak untuk menerima rebat tersebut termasuk kad kredit Zing Touch ‘n’ Go, namun pengguna kad Biz Xs dan Fleet Xs tidak layak berbuat demikian.

Sebelum ini, Menteri Kerja Raya Datuk Shaziman Abu Mansor mengumumkan seramai 163,000 pengguna kad Touch ‘n’ Go yang berdaftar layak untuk menuntut rebat tol sejumlah RM111 juta melalui program itu.

Pengguna yang layak boleh menebus rebat mereka di Pusat Khidmat Pelanggan Touch ‘n’ Go di plaza tol terpilih di seluruh Malaysia, Hub-hub Touch ‘n Go dan juga kaunter Touch ‘n Go SPOT.

Pengguna boleh menghubungi Touch ‘n’ Go Careline di 03-7628 5115 atau layari laman sesawang www.touchngo.com.my untuk maklumat lanjut.

Tiada ulasan: