Himpunan BERSIH 2.0 berjaya juga dilaksanakan pada 9 Julai 2011 yang lalu. Tarikh 9 Julai 2011 pasti akan terpahat dalam sejarah, kerana rakyat dari segenap pelusuk tanahair berani keluar menyatakan pendirian mereka. Meskipun diancam, diugut, disekat dan ditangkap, rakyat sedikitpun tidak gentar dengan pelbagai halangan ini. Puluhan ribu, bahkan sesetengah penganalisis meletakkan angka ratusan ribu rakyat membanjiri ibu kota untuk bersama-sama berhimpun dalam himpunan BERSIH 2.0.
Terlalu banyak pengajaran yang berharga yang boleh dicatatkan hasil dari Himpunan ini.
1. Himpunan BERSIH 2.0 berjaya diadakan dalam suasana aman dan tenang. Ratusan ribu rakyat berhimpun tanpa ada sedikitpun insiden kekerasan dilakukan. Sebaliknya peserta himpunan pula yang dikasari, dipukul, ditangkap, dicederakan, disembur dengan air kimia dan ditembak dengan gas pemedih mata, sehingga ada yang meninggal dunia. Kerajaan gagal memburukkan imej Himpunan BERSIH 2.0 sebagai ganas dan melampau kerana tidak ada sedikit pun harta benda awam yang musnah dirosakkan oleh para demontran. Ini membuktikan juga bahawa himpunan yang diadakan tidak membawa impak dan implikasi buruk kepada negara, jauh sekali boleh memudaratkan kemananan negara.
2. Meskipun pelbagai sekatan dan tangkapan dibuat, rakyat tetap hadir ke himpunan ini. Difahamkan ada juga yang ditangkap di sekitar ibu kota ketika sedang bersarapan pagi walaupun tanpa memakai baju kuning! Sekatan jalan raya hampir di semua jalan pintu masuk Kuala Lumpur, termasuk di negeri-negeri namun PDRM dan kerajaan gagal menyekat arus kebangkitan rakyat yang mahu melihat perubahan dalam sistem pilihanraya di Malaysia. Tanpa baju kuning yang diharamkan, rakyat tetap hadir ke Kuala Lumpur.
3. Kuala Lumpur pada 9 Julai 2011 diibaratkan sebagai zon perang. Hampir semua kedai ditutup. Masjid-masjid dikunci dari dimarahkan. Pasaraya-pasaraya besar juga diarahkan tutup. Perkhidmatan awam dihentikan atau dilencongkan. Jalan-jalan utama ditutup. Keadaan panik seperti ini sengaja dicipta oleh PDRM dan kerajaan Malaysia bagi menggambarkan himpunan BERSIH sebagai membahayakan orang ramai terutama peniaga. Sebaliknya ada peniaga kecil yang meneruskan perniagaan, mendapat keuntungan yang berlipat kali ganda. Dalam keadaan demikian, tidak ada kedai yang dipecah masuk, dicuri atau dirompak. Tidak ada vandalisme dilaporkan dilakukan oleh para demonstran. Ramai peniaga yang rugi hanya kerana mereka menutup perniagaan, bukan kepada mereka yang meneruskan perniagaan pada hari tersebut. Jalan-jalan raya masih elok dan boleh dilalui selepas himpunan ini, seolah-olah tiada apa-apa yang berlaku sehari sebelumnya.
4. Walaupun BERSIH diisytiharkan haram oleh kerajaan Malaysia, ramai yang masih menyertai himpunan ini. Mereka terdiri dari pelbagai lapisan masyarakat, tidak kira bangsa dan warna kulit. Ini membuktikan bahawa BERSIH adalah perjuangan yang didokong oleh rakyat. Rakyat masih mengiktiraf BERSIH walaupun kerajaan menganggapnya haram. Jika tidak mana mungkin rakyat sanggup merisikokan diri mereka hanya untuk hadir dalam perhimpunan ini.
5. Ini juga bermakna rakyat melihat isu pilihanraya yang tempang dan pincang sebagai isu yang serius. Kerajaan perlu melihat isu ini dan selesaikan sesegera mungkin. Rakyat tidak selesa melihat segala macam penyelewengan yang berlaku terutama dalam pengendalian urusan pilihanraya. SPR pula tidak boleh berdalih lagi dengan menolak 8 tuntutan BERSIH 2.0. Pengajaran penting buat SPR adalah - SPR perlu berubah, dari menjadi "budak suruhan" BN, ia perlu bebas dan berintigeriti. Jika tidak, rakyat sendiri akan mengubah SPR.
6. Institusi kerajaan adalah amanah rakyat yang perlu dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab. Pemimpin negara yang mengetuai pelbagai institusi dan agensi kerajaan perlu menunaikan amanah rakyat ini. Barulah ia dihargai dan disanjungi. Hari ini, agensi kerajaan tidak berada di landasannya. Mengambil contoh bagaimana PDRM diperkudakan sedemikian rupa, sehingga bertindak di luar kewarasan akal kemanusiaan hanya kerana melayan ketakutan memuncak pemimpin BN. Warga emas dikasari, wanita diheret dan digari, rakyat yang tidak bersalah turut menjadi mangsa ditangkap dimana-mana, dan ramai yang dibelasah sesuka hati, ibarat penjenayah paling dikehendaki.
SPR pula "diarahkan" bertindak sebagai perkakas untuk memenangkan BN dalam setiap kali pilihanraya. Dengan daftar pemilih yang sangat dicurigai, undi pos sebagai senjata akhir memenangkan pihak pemerintah, penggunaan media keterlaluan oleh kerajaan, menjadikan SPR badan yang berada di bawah telunjuk pemimpin UMNO-BN. Begitu juga dengan pelbagai agensi lain yang dikerah untuk berkempen setiap kali pilihanraya kecil atau umum berlangsung.
7. Himpunan BERSIH 2.0 menyaksikan siri keganasan yang disengsarakan buat pemimpin rakyat. Begitulah namanya perjuangan. Cedera, sakit, kematian, ditangkap, dipukul, diburu dan lain-lain adalah saksi hebatnya perjuangan menegakkan keadilan. Perjuangan ini juga perlu dibayar dengan pengorbanan yang tidak ternilai harganya kerana kebebasan dan keadilan yang didambakan bukan boleh diperolehi dengan percuma. Percayalah, penderitaan rakyat ini pasti akan berakhir dengan kemenangan bermakna, hasil perjuangan yang sama-sama kita didokongi.
*Kenyataan media oleh Mohamad Suhaimi Abdul Aziz, selaku Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan.
Rabu, 13 Julai 2011
Pemuda PAS WP: Pengajaran berharga dari BERSIH 2.0
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan