Susan Loone
Peguam Perancis William Bourdon mendarat di Pulau Pinang hari ini. Beliau dijadual berucap pada majlis makan malam anjuran Suaram malam ini dengan tujuan mengutip derma.
Pesawat yang membawa dari KLIA tiba pada jam 10.25 pagi dan beliau memasuki negeri ini tanpa sebarang halangan.
Pengarah Suaram Cynthia Gabriel, yang mengiringi Bourdon dalam lawatan itu berkata peguam itu juga tidak menghadapi sebarang masalah di Imigresen KLIA apabila mendarat lewat malam semalam.
“Segalanya okay. Beliau hanya keletihan dan memerlukan sedikit rehat,” katanya kepada Malaysiakini.
William Bourdon dijadual berucap mengenai 'Ops Scorpene' di Bayan Baru malam ini. Penceramah lain termasuk Cynthia, pemimpin vetera DAP Lim Kit Siang, naib presiden PKR Tian Chua dan timbalan presiden PAS Mohamad Sabu.
Peguam Perancis yang berkhidmat dengan pertubuhan tanpa keuntungan - Sherpa - dan mengkhusus dalam membela hak asasi manusia dan jenayah menentang kemanusiaan.
Bourdon dijangka mendedahkan butiran kontroversial mengenai pembelian kapalselam negara dengan firma gergasi pertahanan Perancis DCNS.
Syarikat itu didakwa membayar komisyen “yang amat tinggi” kepada pegawai kerajaan Malaysia yang terbabit dalam perjanjian yang dimeterai pada 2002 itu.
Bayaran komisyen kepada pegawai kerajaan dianggap satu jenayah mengikut undang-undang Perancis.
Suaram berharap dapat mengumpulkan dana sebanyak RM100,000 daripada majlis makan malam ini dan dua lagi acara yang sama di Ipoh dan Kuala Lumpur, bagi membiayai kos perundangan dalam kes yang difailkan di Paris yang akan dibicarakan di mahkamah terbuka pada September ini.
Kes berkenaan difailkan tahun lalu oleh Suaram, melalui Bourdon dan pasukannya mengenai dakwaan DCNS membayar RM540 juta sebagai komisyen kepada Perimekar.
Perimekar adalah subsidari KS Ombak Laut Sdn Bhd, yang mana pemegang saham utamnya adalah isteri Abdul Razak Baginda (kanan).
Abdul Razak pula adalah rakan rapat Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak yang didakwa terbabit dalam pembunuhan penterjemah warga Mongolia Altantuya Shariibuu tetapi kemudiannya dibebaskan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan