Isnin, 11 Julai 2011

Pegawai SPRM nafi cuba sembunyi kematian Sarbaini


KUALA LUMPUR — Seorang pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menafikan mahu menyembunyikan misteri kematian Allahyarham Ahmad Sarbaini Mohamed walaupun memberitahu kepada polis pegawai Kastam itu membunuh diri, kata inkues hari ini.

“Itu hanya tanggapan saya... saya sangka dia membunuh diri kerana kami melayan saksi dan suspek dengan baik,” kata Penolong Penguasa SPRM Khalid Amir Meruphy Abdullah kepada mahkamah koroner.

Khalid, 38, berkata dia telah menghubungi ambulans dan polis sebaik sahaja menemui mayat Sarbaini pada 6 April di pejabat SPRM Kuala Lumpur di Jalan Cochrane, sambil memberitahu “seseorang telah terjatuh.”

Tetapi perbualan rakaman Khalid kepada polis yang dimainkan semula di mahkamah hari ini mendedahkan dia berkata, “saya ingin melaporkan kes bunuh diri di pejabat kami di Jalan Cochrane.”

Pegawai itu menegaskan dia tidak memberi apa-apa arahan tentang apa yang dikatakan kepada ambulans dan polis.

“Saya panik bila menghubungi ambulans... saya tidak ingat apa yang saya katakan,” kata Khalid.

Khalid yang bekerja dengan SPRM sejak 2007, mengaku tiada bukti mengatakan Sarbaini membunuh diri.

Sarbaini ditemui mati di gelanggang badminton tingkat satu pejabat SPRM beberapa jam selepas dia ke sana untuk menarik balik pengakuan rasuh dan dipercayai telah terjatuh dari tingkap bilik pantri di tingkat tiga.

Peguam keluarga Sarbaini, Awtar Singh, mengatakan Khalid kelihatan tenang selepas menghubungi polis.

“Itu andaian anda... saya tidak pernah melihat bagaimana saya panik,” jawab Khalid.

“Sekarang saya serius,” tambahnya, menyebabkan orang ramai yang berada dalam mahkamah ketawa.

Pembantu pegawai perubatan Nor Mohd Azami Mansor yang bergegas ke lokasi Sarbaini ditemui mati berkata, tiada tanda mangsa masih bernafas ketika diperiksa dan mendapati kakinya patah dengan lebam di pergelangan tangan.

Apabila ditunjukkan gambar Sarbaini yang berlumuran darah, balunya Maziah Manap menangis teresak-esak di bahu seorang wanita lain.

Penolong Penguasa SPRM Henrita Anak Andrew Lenggie dalam keterangannya berkata, darah masih mengalir dari tubuh Sarbaini ketika dia melihat bapa lima anak itu terbaring di gelanggang badminton pada pukuk 10.20 pagi, 6 April lalu.

“Ini bermaksud ketika itu jantung masih berdegub,” kata peguam SPRM Datuk Seri Muhammad Shafee Abdullah sambil menambah, ia mungkin boleh menentukan masa kematian.

Tiada ulasan: