Jumaat, 8 Julai 2011

Patriot Pemuda Umno berarak ke Stadium Merdeka esok


KUALA LUMPUR— Pemuda Umno menegaskan akan meneruskan perhimpunan anti-Bersih 2.0 atas nama “Patriot” dengan berarak di Stadium Merdeka esok, lokasi sama yang menjadi pilihan Himpunan Bersih 2.0.

Walaupun telah mendapat perintah larangan memasuki Kuala Lumpur esok bersama 90 individu lain, namun Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin menegaskan pihaknya mempunyai hak untuk berhimpun.

“Ini adalah hak kita untuk berkumpul, mengikut Perlembagaan. Kami tidak mahu bertembung dengan sesiapa terutamanya polis, tetapi ini adalah hak demokrasi. Kami telah berbincang dan Exco Pemuda Umno memutuskan untuk menerima apa sahaja tindakan yang akan dikenakan terhadap kami,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sambil berkata Pemuda Umno terpaksa berbuat demikian selepas “pembangkang menolak saranan kerajaan agar mengadakan perhimpunan di luar Kuala Lumpur.”

“Tengah hari ini, kami akan membuat permohonan untuk berkumpul di Stadium Merdeka. Kami telah memohon, kami yang pertama memohon permit polis pada 24 Jun,” katanya sambil menunjukkan surat yang dihantar ke ibu pejabat polis daerah Dang Wangi.

Bagaimanapun kata Ahli Parlimen Rembau ini, permohonan itu telah ditolak pada 6 Julai, namun pihaknya akan membuat rayuan hari ini.

Khairy menafikan pihaknya memutuskan perhimpunan Patriot di Stadium Merdeka kerana mahu mewujudkan suasana tegang dengan Bersih 2.0 yang turut berkeras mahu mengadakan perhimpunan di lokasi bersejarah itu.

“Kami tidak berminat untuk bertembung dengan sesiapa. Kawalan keselamatan bergantung kepada polis,” katanya.

Kata beliau, Pemuda Umno akan berkumpul di Jalan Bukit Bintang pada pukul 10 pagi esok sebelum berarak ke Stadium Merdeka.

Tambah Khairy, pihaknya akan mencari lokasi lain sekiranya tidak dibenarkan menggunakan Stadium Merdeka.

“Kami bukan kerajaan, bukan polis, kami lakukan apa yang perlu,” katanya apabila ditanya perhimpunan itu akan mengganggu ketenteraman awam.

Khairy mengulangi bahawa Pemuda Umno mewakili “majoriti senyap” yang tidak bersetuju dengan tindakan Bersih 2.0.

“Kami bersedia untuk berhadapan dengan sesiapa sahaja yang tunjukkan pendirian kami,” katanya.

Semalam Bersih 2.0 berkata, pihaknya akan meneruskan Himpunan Bersih 2.0 di Stadium Merdeka walaupun diminta untuk mengadakannya di luar Kuala Lumpur.

Gerakan itu juga menuntut Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak untuk membenarkan menggunakan Stadium Merdeka.

Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin pada Ahad lalu meminta pentadbiran Najib agar mengadakan rundingan dengan Bersih 2.0 berhubung isu sistem pilihan raya.

Selepas mengadakan pertemuan dengan Yang di-Pertuan Agong pada Selasa lalu, Bersih 2.0 mengumumkan menerima saranan Najib walaupun perdana menteri itu berkata permohonan polis perlu dibuat terlebih dahulu.

Polis sehingga kini masih meneruskan tangkapan ke atas mereka yang terlibat dalam perhimpunan itu.

Tiada ulasan: