Sabtu, 16 Julai 2011

Pasca-Bersih: Polis tubuh dua pasukan siasat insiden Hospital Tung Shin

THE MALAYSIAN INSIDER

KUALA LUMPUR — Polis menubuhkan dua pasukan khas bagi menyiasat dakwaan 11 doktor Hospital Tung Shin di sini bahawa gas pemedih mata dilepaskan dalam kawasan hospital itu ketika pihak berkuasa menangani perhimpunan 9 Julai lalu.

Satu pasukan khas akan menyiasat dakwaan doktor-doktor manakala satu lagi pasukan akan menyiasat secara menyeluruh kejadian itu.

“Kita (polis) akan menyiasat dahulu perkara yang berlaku termasuk mengambil keterangan daripada doktor, saksi dan petugas-petugas (polis) yang terlibat pada masa itu,” kata Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Datuk Ku Chin Wah dipetik laporan Bernama Online hari ini.

Isnin lepas, Lembaga Hospital Tung Shin memaklumkan bahawa insiden pelepasan gas pemedih mata dalam kawasan hospital berkenaan tidak berlaku ketika perhimpunan 9 Julai.

Bagaimanapun 11 doktor mendakwa sebaliknya.

Ku berkata polis juga akan memantau tindakan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil termasuk gesaan Presidennya Datuk S. Ambiga supaya penyokongnya memakai kemeja-T kuning pada setiap Sabtu.

Dalam satu kenyataan Rabu lalu, sekumpulan 11 doktor menegaskan mereka bersedia untuk menyediakan afidavit berkanun untuk mengatakan bahawa pihak polis ada melepaskan air berasid dan gas pemedih mata ke atas kawasan Hospital Tung Shin dan Bersalin Cina, Sabtu lalu.

Seramai 11 doktor menegaskan, mereka kecewa dengan tindakan polis itu tanpa mempedulikan keselamatan pesakit dan doktor.

Justeru, kenyataan itu bercanggah dengan respons Menteri Kesihatan yang telah menafikan polis ada melepaskan air berasid dan gas pemedih ke atas kawasan hospital, sebaliknya tambah beliau ia disebabkan oleh pergerakan angin pada masa kejadian.

Kenyataan media itu ditandatangani oleh Dr Musa Nordin, Dr Sheikh Johari Bux, Dr Ng Kwee Boon, Dr Ng Swee Choon, Dr Ronald Macoy, Dr David Quek, Dr Mary Cardozo, Dr Farouk Musa, Dr Mazeni Alwi, Dr Pixie Low dan Dr Steve Wong.

“Adalah menjijikkan pihak berkuasa yang diamanahkan tanggungjawab kepolisian menjaga negara dan melindungi mereka yang lemah, tanpa rasa malu menafikan perbuatan mereka secara umum, di sebalik kejadian itu disokong banyak gambar, video dan pengakuan saksi termasuk pemerhati berkecuali,” kata mereka dalam kenyataan itu.

Ekoran kenyataan mereka, Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai memutuskan untuk mengadakan satu jawatankuasa inkuiri tahap tinggi bagi menyiasat insiden pihak polis menyasarkan Hospital Tung Shin.

Tiada ulasan: