Sabtu, 16 Julai 2011

Pasca-Bersih 2.0: SPR jangan hanya jelas, tapi dengar idea rakyat


KUALA LUMPUR— Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak seharusnya hanya memberi penjelasan kepada rakyat tetapi juga perlu mendengar pandangan orang ramai mengenai sistem pilihan raya negara termasuk pembaharuan diperlukan ekoran perhimpunan 9 Julai lalu.

Ahli Majlis Tertinggi Umno Datuk Saifuddin Abdullah berkata beliau mengalu-alukan langkah SPR yang mahu mengadakan program turun padang untuk berjumpa terus dengan rakyat menerusi sesi penerangan, tetapi ia harus bersifat interaktif.

“Saya mengalu-alukan kesediaan SPR untuk meningkatkan penerangan tentang fungsinya termasuk berjumpa terus dengan rakyat dan saya harap SPR akan menggunakan komunikasi dua hala iaitu interaktif seperti menggunakan media baru iaitu blog, Facebook dan Twitter.

“Juga (SPR) jangan hanya menerangkan tetapi mesti juga mendengar idea, pandangan rakyat tentang kerja-kerja SPR,” katanya kepada The Malaysian Insider.

Semalam Timbalan Pengerusi SPR Datuk Wira Wan Ahmad Wan Omar berkata pihaknya menjadi sasaran Bersih 2.0 dan Pakatan Rakyat ekoran kelemahan yang agensi itu sendiri.

Kata beliau, SPR sedar kelemahan agensi itu adalah dari aspek komunikasi sehingga menyebabkan rakyat keliru atau tidak tahu mengenai langkah penambahbaikan yang dilakukan.

Ahli Parlimen Temerloh ini juga berharap SPR, yang berusia lebih lima dekad, tidak bersifat defensif sebaliknya lebih terbuka dalam menjelaskan sesuatu perkara termasuk dalam isu Bersih 2.0.

“Saya harap penerangan SPR tidak bersifat defensif, mempertahankan apa yang difikirkan baik oleh SPR sahaja.

“Sebaliknya, ia juga perlu bersifat akomodatif, sedia ambil kira, guna pakai idea dan menerima cadangan bernas dari rakyat kerana apa yang penting, bukannya kerja SPR tapi adalah sistem pilihan raya yang terbaik untuk negara,” kata wakil rakyat ini yang memperlihatkan sikap terbuka di sebalik isu perhimpunan 9 Julai, tetapi berhadapan dengan serangan kumpulan pro-Umno.

Saifuddin yang juga Timbalan Menteri Pengajian Tinggi berkata beliau juga menyifatkan langkah SPR yang mahu mengadakan rundingan sebagai positif, selaras dengan Pemuda Umno yang bersedia berbincang dengan Bersih 2.0.

“Langkah positif ini untuk menghidupkan perbincangan politik yang progresif demi mematangkan amalan demokrasi kita,” katanya.

Sebelum ini, Pemuda Umno membuat tawaran untuk berdebat dengan Bersih 2.0 yang diketuai Datuk Ambiga Sreenevasan dan ia disambut baik.

Ambiga menyifatkan tawaran Pemuda Umno sebagai satu cara yang sihat untuk membawa tuntutan Bersih 2.0 ke depan.

Sabtu lalu, ribuan rakyat Malaysia telah menyertai Himpunan Bersih 2.0 untuk menuntut pembaharuan sistem pilihan raya.

Pada perhimpunan itu, lebih 1,600 peserta termasuk pimpinan Bersih 2.0, Pakatan Rakyat dan Pemuda Umno ditahan.

Saifuddin berkata SPR harus mengadakan dialog dengan Bersih 2.0 dan memberikan alasan-alasan munasabah mengapa tuntutan Bersih 2.0 tidak boleh dilaksanakan.

Jelasnya, apa yang paling penting adalah kedua-dua pihak dapat berdialog secara terbuka supaya rakyat tahu apa yang dibincangkan.

“(SPR) patut memberikan jawapan berdasarkan fakta dan penghujahan yang bernas... kalau ada yang melibatkan perkara di luar bidang kuasa tidak bermakna ia tidak boleh dibincangkan.

“Bincangkan dulu perkara itu, bukan oleh kerana di luar bidang kuasa terus tidak berbincang. Setelah berbincang jika perkara itu perlu dibawa ke atas, maka SPR perlu bertindak proaktif dan bawa ia ke atas atau aturkan supaya ia dibawa ke atas atau pihak yang berkenaan.

“Ini soal mematangkan demokrasi melalui sistem pilihan raya yang terbaik,” katanya.

Lapan tuntutan Bersih 2.0 adalah agar SPR membersihkan daftar undi, memperbaiki undi pos, gunakan dakwat kekal, akses media yang bebas dan adil, tempoh kempen minimum 21 hari, diperkukuhkan institusi awam dan menghentikan rasuah serta mengatasi politik kotor.

Tiada ulasan: