Jumaat, 15 Julai 2011

PAS Sarawak bimbang kerosakan CIQ

Harakahdaily


KUCHING: PAS Sarawak bimbang kerosakan Kompleks Pemeriksaan Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) di Biawak akan mengganggu-gugat keselamatan penduduk.

Ketua Penerangan PAS Sarawak, Mohd Azwani Abd Rani menyatakan demikian sebagai respons kepada laporan Borneo Post hari ini berhubung perkara itu yang benar-benar membimbangkan setiap warga Sarawak khasnya penduduk berdekatan kawasan sempadan.

Stesen pihak berkuasa Kastam (CIQ) di Biawak bernilai RM13 juta dilaporkan tidak efektif dalam menjadi benteng kawalan sebarang aktiviti haram seperti penyeludupan dan sebagainya kerana kerosakan yang dialami.

“Malahan bukan sekadar manusia malahan kenderaan pun sudah keluar masuk sempadan ini tanpa kawalan.

“PAS Sarawak bimbang ia akan mengganggu-gugat keselamatan penduduk,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini.

Beliau berkata, alasan kurangnya petugas adalah amat dangkal sedangkan apabila adanya program melibatkan Pakatan Rakyat seperti Bersih, seluruh tenaga dikerahkan untuk mengawal rakyat yang berhimpun secara aman.

“Sepatutnya penjagaan kawasan sempadan ini dijadikan perkara penting demi memastikan kestabilan negara,” ujarnya.

Justeru, katanya PAS Sarawak mahu tindakan segera kerajaan agar memastikan jentera keselamatan secukupnya dimobilisasi segera untuk memastikan keselamatan kawasan sempadan dan menghalang sebrang aktiviti haram berlaku.

PAS Sarawak juga, tambahnya mendesak satu tindakan segera untuk menilai semula kos projek itu sama ada wujud salah guna atau ketirisan.

“Adakah semua faktor keselamatan dan sistem peralatan canggih disediakan seperti CCTV dan kad automasi sesuai dengan harga yang tinggi?” soalnya.

Beliau menambah, PAS Sarawak tidak mahu laporan SPRM 2009 yang melaporkan ketirisan sejumlah 60% projek kerajaan berlaku pada projek itu juga.

“Kiranya ini benar, satu badan khas perlu ditubuhkan segera bagi memastikan pihak bertanggungjawab dikenakan tindakan tegas,” ujarnya.

Tiada ulasan: