Selasa, 19 Julai 2011

Pas malu kerajaan Melaka lanjut operasi pusat hiburan

KEADILAN DAILY

MELAKA: Kerajaan Umno-BN Melaka di bawah pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam patut berasa malu kerana merestui keputusan melanjutkan operasi pusat hiburan di negeri itu sehingga jam 3 pagi.

Timbalan Pesuruhjaya Pas Melaka, Kamarudin Sidik berkata, Melaka sepatutnya mencontohi langkah yang diambil kerajaan Kedah bagi mengelakkan pusat hiburan dikunjungi umat Islam sepanjang Ramadan.

“Cadangan ini wajar dipertimbangkan untuk dilaksanakan di Melaka supaya dapat mengekang masyarakat Islam terus terjerumus dengan keadaan mungkar ini apatah lagi dalam bulan mulia.

“Saya turut berasa malu apabila bangsa lain turut tidak bersetuju dengan tempoh operasi pusat hiburan dilanjutkan sehingga jam 3 pagi kerana boleh meningkatkan gejala maksiat dan jenayah,” katanya seperti dilapor Malaysiakini.

Sementara itu, Harakahdaily pula melaporkan Ketua Penerangan Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man mempersoalkan mengapa MCA dan Gerakan tidak mempertikai Enakmen Hiburan dan Tempat-tempat Hiburan 1997 yang diluluskan Umno.

Sedangkan Pas di Kedah katanya, hanya menjalankan tanggungjawab menguatkuasakan enakmen tersebut untuk membantu umat Islam menumpukan perhatian kepada ibadah semasa Ramadhan.

“Sewaktu enakmen ini diluluskan tentulah kajian telah dibuat, tapi minda MCA dan Gerakan tidak timbul pun soal ada agenda untuk menubuhkan negara Islam,” ujarnya merujuk kepada kenyataan MCA di Kedah.

Media pada 17 Julai lalu melaporkan kerajaan Kedah membatalkan rancangannya untuk menguatkuasakan enakmen negeri 1997 bagi menutup bar, disko dan kelab karaoke pada Ramadan yang akan datang.

Bagaimanapun Setiausaha Politik Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor hari ini berkata larangan operasi pusat hiburan di Kedah pada bulan Ramadan tidak pernah ditarik balik.

Sebaliknya, menurut beliau, secara umum Menteri Besar Datuk Seri Azizan Abdul Razak bersetuju pusat hiburan dibenarkan beroperasi sepanjang bulan itu untuk masyarakat bukan Islam sahaja.

Tiada ulasan: