Menurut Anwar, sejak beberapa hari ini pihak pemerintah cuba memintal fitnah dengan mengaitkan tuntutan pilihan raya yang bersih dan adil dengan gerakan subversif.
PETALING JAYA: Penahanan Ahli Parlimen Sungai Siput Dr Michael Jeyakumar di bawah Ordinan Darurat merupakan suatu penghinaan terhadap amalan demokrasi dan institusi Parlimen di negara ini.
Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau selaku Ahli Parlimen yang dipilih berhak menyuarakan hasrat rakyat yang mahukan pilihan raya yang bersih dan adil.
Menurut Anwar, sejak beberapa hari ini pihak pemerintah cuba memintal fitnah dengan mengaitkan tuntutan pilihan raya yang bersih dan adil dengan gerakan subversif.
“Sedangkan sudah beberapa kali Sekretariat Bersih menegaskan perhimpunan yang bakal diadakan pada Sabtu ini merupakan perhimpunan aman.
“Malahan Sekretariat Bersih sedaya upaya berbincang dengan pemerintah agar tuntutan berkaitan pilihan raya dapat dilaksanakan,” kata Ahli Parlimen Permatang Pauh itu dalam satu kenyataan media hari ini.
Namun demikian kata Anwar, gesaan dan tuntutan itu ditolak dengan penuh keangkuhan. Sewajarnya pemerintah tidak perlu gentar dengan tuntutan yang diharap dapat membawa kebaikan buat rakyat dan negara Malaysia.
“Saya menggesa pemerintah dengan segera membebaskan semua yang ditahan kerana dituduh terlibat dengan Bersih termasuk Dr Jeyakumar Devaraj dan lima yang lain,” katanya.
Beliau mendesak pemerintah menghormati dan mematuhi prinsip Kedaulatan Undang-Undang serta Perlembagaan sepertimana yang termaktub dalam Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan.
Semalam, Dr Michael Jeyakumar dan bersama lima aktivis Parti Sosialis Malaysia (PSM) yang dibebaskan selepas direman selama tujuh hari ditahan semula di Butterworth di bawah Seksyen 3(1) dan Seksyen 4(1) Ordinan Darurat (EO) 1969.
Lima aktivis PSM yang ditahan semula bersama Dr Michael Jeyakumar ialah M Saraswathy, Choo Chon Kai, M Sukumaran, A Letchumanan dan R Sarathbabu.
Peruntukan tersebut membolehkan pihak berkuasa menahan individu terbabit selama 60 hari tanpa bicara.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan