Jumaat, 1 Julai 2011

NGO himpun di Jambatan Pulau Pinang jika Himpunan Bersih kekal

THE MALAYSIAN INSIDER

GEORGE TOWN — Lebih 10 pertubuhan bukan kerajaan di Pulau Pinang merancang mengadakan perhimpunan di Jambatan Pulau Pinang pada 8 Julai ini jika Himpunan Bersih 2.0 yang dirancang pada 9 Julai diteruskan.

Yang Dipertua Pribumi Perkasa Negara (Perkasa) Pulau Pinang Datuk Ahmad Saad berkata, tindakan itu sebagai membantah perhimpunan haram berkenaan yang ternyata hanya akan menyusahkan semua pihak.

“Kalau mereka tidak membatalkan perhimpunan 9 Julai ini, kita akan mengadakan perhimpunan di Jambatan Pulau Pinang pada 8 Julai. Kita boleh buat.

“Biar siapa pun tak boleh masuk atau keluar (Pulau Pinang). Kita tengok siapa yang akan susah,” katanya pada sidang media hari ini.

Dipetik laporan Bernama Online, beliau berkata semua pihak yang berhasrat menyertai perhimpunan haram akan tahu dan sedar bahawa tindakan mereka itu boleh menjejaskan semua pihak.

“Kami rayu Ambiga (Datuk Ambiga Sreenevasan) dan kumpulannya supaya membatalkan perhimpunan haram itu,” katanya.

Ahmad berkata perhimpunan haram itu tidak perlu diadakan kerana terdapat pelbagai medium yang boleh digunakan oleh semua pihak untuk menyatakan ketidakpuasan hati mereka.

Beliau juga mendesak kerajaan menahan golongan yang merancang perhimpunan haram itu bagi mengelak daripada perhimpunan itu diteruskan.

Antara NGO yang hadir pada sidang media hari ini ialah Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Pertubuhan Suara Anak-anak Malaysia dan Persatuan Melayu Tanjong.

Tiada ulasan: