Isnin, 4 Julai 2011

Najib perlu terima nasihat Tuanku, laksana tuntutan Bersih- Azmin

Oleh: Ahmad Fadli

PETALING JAYA: Timbalan Presiden KEADILAN, Azmin Ali menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menerima nasihat yang disampaikan Yang Di Pertuan Agong melalui titah baginda semalam.


Menurut Azmin, Najib perlu menggunakan ruang perbincangan dengan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0), bagi melaksanakan semua tuntutan NGO itu.

“Saya mendesak Najib dan pentadbiran di Putrajaya menerima nasihat Tuanku dengan menganjurkan satu inisiatif yang bersifat konsultasi di antara kerajaan dan Bersih dan Pakatan Rakyat dalam semangat yang lebih bertanggungjawab, bertamadun dan bukan ambil sikap konfrontasi dengan rakyat yang diwakili oleh Bersih dan Pakatan Rakyat.

“Ini jelas dapat dilihat dalam titah Tuanku yang menganjurkan supaya ada dialog ataupun muafakat di antara kerajaan dan Pakatan Rakyat dan badan-badan pertubuhan sivil seperti Bersih untuk melihat tuntutan-tuntutan ke arah pilihan raya yang bersih dan adil,” katanya.

Lanjutan itu, Azmin menggesa agar polis dan Umno menghentikan segera intimidasi bersifat politik dalam bentuk tangkapan dan soal siasat ke atas aktivis Bersih yang giat dilakukan sekarang.

“Atas nasihat Tuanku juga semalam, saya mendesak Hishammuddin segera arah polis hentikan tekanan, ugutan dan crakdown terhadap parti politik, pemimpin parti dan pertubuhan sivil.

“Jangan lagi ada tangkapan motif politik dan Polis Di Raja Malaysia (PDRM) sewajarnya mengambil sikap lebih bertanggungjawab selaras dengan nasihat Tuanku,” kata Azmin yang juga Ahli Parlimen Gombak.

Dalam perkembangan sama, Azmin menegaskan walau apa pun keputusan akhir yang diambil Bersih di kala tekanan ke atasnya semakin kuat, perkara yang paling mustahak adalah memastikan tuntutan lapan perkara yang dibuat bersih mewakili rakyat Malaysia sampai kepada Yang Di Pertuan Agong.

“Saya sambut baik keputusan yang dibuat Datuk Ambiga dan jawatankuasa Bersih untuk mengadap Duli Yang Maha Mulia Tuanku untuk mengadap dan mendengar sendiri nasihat Tuanku.

“Walau bagaimana pun tuntutan lapan perkara yang dibuat Bersih mewakili rakyat akan terus didesak supaya kerajaan melaksanakannya bagi memberikan ruang demokrasi yang lebih segar dan sihat,” kata Azmin.

Semalam Yang Di Pertuan Agong, Sultan Mizan Zainal Abidin bertitah agar kerajaan Umno BN menggunakan jalan rundingan dalam mendengar tuntutan-tuntutan yang dikemukakan Bersih.

Titah itu disiarkan Bernama pada kira-kira jam 9.30 malam tadi.

Tiada ulasan: