Isnin, 18 Julai 2011

MP PAS S’gor ambil alih tugas Dr Lo’ Lo’

Mereka ialah Khalid Abdul Samad (Shah Alam), Dr Dzulkefly Ahmad (Kuala Selangor) dan Dr Mariah Mahmud (Kota Raja).



PETALING JAYA: Tiga Ahli Parlimen PAS Selangor akan mengambil alih tugas untuk berkhidmat kepada rakyat di kawasan Titiwangsa ekoran pemergian ahli parlimennya, Dr Lo’ Lo’ Mohd Ghazali ke rahmatullah malam tadi.

Mereka ialah Khalid Abdul Samad (Shah Alam), Dr Dzulkefly Ahmad (Kuala Selangor) dan Dr Mariah Mahmud (Kota Raja).

Perkara ini dinyatakan oleh Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub ketika ditanya mengenai siapakah di kalangan ahli Parlimen yang akan mengambil alih tugas Allahyarham Dr Lo’Lo’ yang meninggal dunia kira-kira jam 10.25 malam tadi akibat penyakit barah.

“Mereka akan memikul tanggung jawab itu sehingga pilihan raya umum (PRU) akan datang,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Pada PRU 2008, beliau mengalahkan calon Barisan Nasional, Datuk Aziz Jamaluddin Tahir dengan majoriti 1,972 undi.

Salahuddin menambah, bagaimanapun, PAS Kawasan Titiwangsa akan menjalankan tugas memantau parlimen berkenaan seperti aduan daripada para penduduk setempat.

Dalam perkembangan lain, PAS belum menetapkan sama ada akan terus memilih calon wanita untuk parlimen Titiwangsa dalam PRU ke 13.

“Terpulang kepada parti (PAS) untuk memilih calon wanita atau pun calon lelaki. Tetapi biasanya PAS akan meminta PAS kawasan untuk menamakan calon yang paling sesuai untuk kawasan mereka,” tambahnya.

Sementara itu, seorang pemimpin PAS Titiwangsa memberitahu, kematian Dr Lo’Lo’ merupakan satu kehilangan besar bagi penduduk Titiwangsa.

Menurutnya, Dr Lo’ Lo’ bekerja kuat siang malam untuk memastikan kawasan jagaannya terbela dan menikmati pembangunan yang sewajarnya.

“Jasa paling besar tentulah mengenai pembangunan Kampung Baru iaitu memastikan pemilik tanah mendapat pembelaan dari percubaan manipulasi pihak tertentu,” katanya yang enggan namanya disiarkan.

Tiada ulasan: