Rabu, 20 Julai 2011

MEF bimbang idea naikkan caruman Perkeso

THE MALAYSIAN INSIDER

KUALA LUMPUR — Persekutuan Majikan-majikan Malaysia (MEF) mencadangkan agar kenaikan caruman Perkeso dilakukan terhadap pekerja yang membuat tuntutan dan boleh kembali bekerja seperti biasa.

Pengarah Eksekutifnya, Shamsuddin Bardan berkata bagi pekerja yang tidak membuat tuntutan, MEF mencadangkan kadar caruman mereka diturunkan secara berkala.

“Dengan melaksanakan kaedah ini, Perkeso diharap dapat mengimbangi jumlah bayaran pampasan kepada pekerja dan jumlah caruman yang diterima,” katanya dipetik Bernama Online.

Bagaimanapun, beliau berkata kadar kenaikan itu diharap tidak membebankan pekerja dan Perkeso perlu mengkaji lebih banyak cara untuk mencegah kemalangan di tempat kerja dengan lebih berkesan.

Katanya, apabila kemalangan di tempat kerja berkurangan, bayaran pampasan juga akan menurun, dan ini tentu boleh membantu Perkeso mengimbangi pampasan yang dibayar.

Shamsuddin turut meluahkan kebimbangan jika kadar caruman Perkeson dinaikkan kerana ia boleh menyebabkan kos menjalankan perniagaan di negara ini meningkat.

Rata-rata pekerja dan wakil kesatuan pekerja yang dihubungi Bernama hari ini bersetuju jika caruman itu dinaikkan bagi mengimbangi jumlah bayaran pampasan kepada pekerja, asalkan ia tidak membebankan.

Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) Mohd Khalid Atan berkata kenaikan caruman itu perlu diimbangi dengan penambahan perkhidmatan dan penambahbaikan sistem pengurusan Perkeso.

“Kenaikan ini perlu dalam kadar yang munasabah. Selain pekerja dapat faedah tambahan yang lain, kenaikan ini juga perlu memberikan satu nilai tambah kepada Perkeso sendiri,” katanya.

Beliau berkata selain itu, Perkeso perlu meningkatkan perkhidmatan sedia ada seperti mempercepatkan proses tuntutan pampasan.

Presiden Kesatuan Pekerja-Pekerja Telekom Malaysia (NUTE) Mohd Jafar Abd Majid berkata caruman Perkeso ketika ini dilihat berada pada tahap agak rendah dan dikhuatiri tidak selaras dengan kenaikan kos sara hidup.

“Bila kos sara hidup meningkat, sekarang kos Perkeso sediakan perkhidmatan juga meningkat, jadi bila caruman kekal, bagaimana Perkeso hendak tanggung kos tambahan itu, jadi ada kenaikan, tetapi kenaikannya perlu tidak ketara sampai susahkan pekerja,” katanya.

Semalam, Menteri Sumber Manusia Datuk Dr S. Subramaniam berkata kementerian itu sedang mengkaji kaedah terbaik bagi meningkatkan kutipan caruman Perkeso untuk mengimbangi jumlah bayaran pampasan kepada pekerja.

Tiada ulasan: