Isnin, 4 Julai 2011

Mampukah Hishammuddin berlaku adil?

Roketkini.com


GEORGETOWN – DAP hari ini membidas pendirian Datuk Seri Hishammuddin Hussein yang kononnya mahu bersikap adil tetapi tidak berani mengambil tindakan terhadap demonstrasi ganas oleh para penyokong UMNO dan Perkasa di Pulau Pinang baru-baru ini.

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata Menteri Dalam Negeri itu hanya bertindak berlebihan untuk mengharamkan perhimpunan aman Bersih 2.0 sedangkan tiada halangan dibuat terhadap penyokong-penyokong UMNO dan Perkasa yang menghuruharakan bandaraya serta Jambatan Pulau Pinang pada Jumaat lalu.

Demonstrasi di Komtar dan di Jambatan Pulau Pinang menyebabkan kesesakan lalu lintas yang teruk sepanjang 10km, malah ada penunjuk perasaan telah menyerang dua wartawan.

Senator UMNO Ezam Mohd Nor bersama tujuh yang lain telah ditahan oleh pihak polis selepas demonstrasi tersebut tetapi dibebaskan serta-merta.

Guan Eng mempersoal kewibawaan Hishammuddin yang tidak menahan Ezam di bawah Ordinan Darurat sebagaimana yang dilakukan terhadap pemimpin dan penyokong Parti Sosialis Malaysia baru-baru ini.

Katanya Ezam telah mengancam untuk tidak perlu menunggu pilihan raya umum, malah mahu mengadakan lebih banyak demonstrasi bagi memaksa Guan Eng selaku Ketua Menteri Pulau Pinang meletak jawatan.

“Adakah Hishammuddin berani untuk mengharamkan Perkasa sebagaimana beliau telah mengharamkan Bersih 2.0 atau menangkap Ezam dan Ketua Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin sepertimana juga polis telah menahan Ahli Parlimen Sungai Siput Dr Michael Jeyakumar Devaraj di bawah Ordinan Darurat bagi membuktikan pihak polis tidak mengamalkan ‘double-standard’ atau pilih kasih?” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jelas beliau, penahanan Dr Jeyakumar dan lima ahli PSM di bawah Ordinan Darurat adalah tidak adil kerana tiada sebarang bukti kukuh mereka mahu “melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong.

“Tuduhan menyebarkan fahaman komunis adalah tidak masuk akal apabila kerajaan Malaysia sendiri sememangnya telah lama mengadakan hubungan akrab dengan negara-negara komunis seperti Cuba, China dan Vietnam,” katanya.

Guan Eng turut mempersoalkan sama ada Khairy selaku Ketua Pemuda UMNO mahu menghidupkan semula fahaman komunis melalui penubuhan sebuah jawatankuasa tetap pada 12 Oktober 2009 bagi mengukuhkan hubungan di antara Pemuda Barisan Nasional dan Liga Belia Komunis China (Communist Youth League of China).

“Jelas sekali, penyokong Bersih yang ditahan minggu lalu dan serbuan sekretariat pada Rabu lalu hanya dijadikan mangsa oleh kerajaan Barisan Nasional, sedangkan mereka tidak menganjurkan sebarang demonstrasi, walhal demonstrasi UMNO dan Perkasa dibenarkan berlangsung tanpa sebarang hukuman,” katanya.

Beliau menjelaskan DAP akan tetap menyokong sebarang perhimpunan aman sebagaimana yang diperuntukkan hak oleh Perlembagaan Persekutuan tetapi mengutuk sekeras-kerasnya perhimpunan yang ganas dan kejam.

Beliau juga menyokong kenyataan Pertubuhan Wartawan dan Jurugambar Akhbar Cina Pulau Pinang (Pewaju) yang mengutuk sekeras-kerasnya serangan oleh penunjuk perasaan terhadap wartawan ketika tunjuk perasaan haram tersebut.

“Apa yang mengejutkan adalah kenyataan Pewaju bahawa serangan terhadap dua wartawan tersebut berlaku di hadapan mata pihak polis.

“Tindakan ini adalah tidak adil dan hanya mencemari imej dan rekod Malaysia di mata dunia kerana tidak menghormati hak asasi manusia,” tambah beliau.

Tiada ulasan: