Jumaat, 8 Julai 2011

Malaysia usir anggota militan Indonesia Agus Salim Isnin ini

THE MALAYSIAN INSIDER

KUALA LUMPUR — Seorang anggota kumpulan militan warga Indonesia, Agus Salim, 34, yang ditahan pada 6 Jun lepas dijangka akan diusir ke negara asalnya Isnin ini, kata Pengarah Pasukan Petugas Khas (Operasi/Anti Pengganas) Bukit Aman Datuk Mohamad Fuzi Harun.

Beliau berkata siasatan polis terhadap Agus telah selesai dan kini ia (kes) di bawah tanggungjawab Imigresen untuk tindakan selanjutnya dengan mengikut undang-undang sedia ada.

“Sebenarnya ia bukan tanggungjawab kita lagi... ia di bawah undang-undang Imigresen bukan polis. Kita (polis) hanya menyiasat. Kita berpuas hati dengan segala siasatan yang dilakukan,” katanya dipetik Bernama Online.

Agus, 34, berasal dari Medan, Indonesia, yang pernah ditahan di negara ini sebelum diusir ke negara asalnya dua tahun lepas, kali ini ditahan atas kesalahan Imigresen kerana didapati menggunakan identiti palsu pada pasport perjalanan sah negara ini untuk masuk semula ke Malaysia.

Agus sebelum ini ditahan kerana merancang untuk membawa keluar pengganas paling dikehendaki Asia Tenggara, Mas Selamat Kastari, yang bersembunyi di dalam negara untuk pulang semula ke Indonesia pada 2009.

Tiada ulasan: