Rabu, 27 Julai 2011

Makna dan pengaruh mendalam: Perarakan Tunjuk Perasaan 709

SUARAM JB


Walaupun menghadapi pelbagai penipuan, halangan, ugutan, dan berikutan dengan represi yang menyeluruh oleh golongan pemerintah UMNO-BN, di bawah kepimpinan betul dan kebijaksanaan kolektif yang ditonjolkan oleh BERSIH 2.0 dan di bawah sokongan dan penyertaan yang berani oleh rakyat pelbagai kaum, "Perhimpunan dan Perarakan Demokrasi 709" telah diadakan dengan berjayanya di pusat jantung Malaysia, Bandaraya Kuala Lumpur.

Menteri Dalam Negeri Hishammudin Hussein telah menggerakkan sejumlah besar pasukan FRU yang serba lengkap dengan pelbagai senjata untuk menyekat jalan di sekitar kawasan perhimpunan, memasang dawai berduri di sekitar pintu masuk Stadium Merdeka, serta menggerakkan ribuan anggota polis untuk melakukan penangkapan dan menyuraikan rakyat yang berkumpul di merata tempat. Akibatnya hanya beberapa ribu penyokong BERSIH berjaya menebusi benteng sekatan polis dan berjaya sampai ke kawasan sekitar Stadium Merdeka. Perhimpunan aman tidak dapat diadakan di destinasi bersejarah dan bermakna yang ditetapkan oleh BERSIH 2.0 ini. Tanpa pilihan lain, lebih kurang 50,000 rakyat yang hadir terpaksa berdemonstrasi di tengah-tengah jalan raya untuk menunjukkan perasaan tidak puas hati.

Walaupun adanya perintah larang masuk ke Bandaraya Kuala Lumpur pada 9 Julai yang diperoleh oleh polis daripada mahkamah, dan ugutan ditahan jika memasuki Kuala Lumpur, tetapi Ambiga dan pemimpin-pemimpin BERSIH 2.0 yang lain tidak tunduk kepada ugutan itu. Akhirnya mereka telah ditahan dan ditangkap di tengah perjalanan kerana tetap menghadiri perhimpunan. BERSIH 2.0 mengumumkan bahawa penyerahan "Memorandum 8 Tuntutan Reformasi Sistem Pilihan Raya" terpaksa ditangguhkan akibat daripada tindakan ganas dan zalim oleh Kerajaan BN dibawah pimpinan Najib.

Dengan wujudnya perpaduan dan kerjasama erat antara rakyat jelata terutamanya kaum Melayu, Cina dan India, "Perhimpunan dan Perarakan Demokrasi 709" kini berkembang menjadi satu Perarakan Tunjuk Perasaan memberangsangkan yang memberi tamparan hebat kepada helah dan ugutan perkauman serta serangan daripada golongan hegemoni UMNO, demi menuntut reformasi sistem pilihan raya dan pendemokrasian politik.

Jika dilihat punca asasnya, berlakunya "Perarakan Tunjuk Perasaan 709" adalah disebabkan oleh sikap UMNO-BN yang mengabaikan terus 8 tuntutan massa yang adil, munasabah, dan sah dari segi undang-undang tentang reformasi sistem pilihan raya yang dikemukakan melalui BERSIH 2.0. Ia turut disebabkan oleh tindakan Najib memungkir janjinya sendiri yang sebelum ini membenarkan perhimpunan 709 diadakan di stadium dan represi ganas pihak polis terhadap pemimpin dan peserta perhimpunan.

"Perarakan Tunjuk Perasaan 709" merupakan tindakan bersama tiga kaum utama di Malaysia berdasarkan satu matlamat umum, iaitu mereformasikan sistem pilihan raya, dan merealisasikan pilihan raya yang bersih dan adil. Ianya boleh disifatkan satu perjuangan massa sebenar yang ulung kali dalam sejarah Malaysia. Berlakunya perhimpunan ini dan perkembangannya mempunyai makna dan pengaruh yang cukup mendalam terhadap gerakan hak asasi dan demokrasi di negara kita pada masa kini dan masa depan. Penerangannya seperti di bawah:

1. Rakyat Jelata Telah Sedar Akan Ketidakadilan dan Penipuan "Peraturan" Sistem Pilihanraya

Perarakan Tunjuk Perasaan 709 melambangkan bahawa:
(1) Melalui penglibatan diri dalam pilihan raya sejak kemerdekaan 54 tahun yang lepas, rakyat jelata telah sedar dengan ketidakadilan dan penipuan "peraturan" (iaitu akta, sistem dan prosedur pilihan raya yang tidak adil) sistem pilihan raya yang dilaksanakan oleh Kerajaan Perikatan (yang lepas) dan Kerajaan BN (kini) yang didominasi oleh UMNO di bawah aturan penjajah British.

(2) Rakyat jelata telah mempelajari daripada pengalaman hidup sendiri bahawa, selagi wujudnya "peraturan" pilihan raya yang dilaksanakan oleh golongan pemerintah untuk membela kepentingan diri sendiri, rakyat jelata tidak akan berpeluang untuk memilih wakil rakyat dan kerajaan yang membela kepentingan rakyat.

(3) Daripada kesengsaraan yang dialami sejak 54 tahun yang lalu, rakyat jelata telah mempelajari bahawa golongan pemerintah hegemoni UMNO merupakan punca utama kepada masalah seperti diskriminasi dan penindasan perkauman, korupsi, penyalahgunaan kuasa, jurang kekayaan semakin besar serta ketidaktenteraman masyarakat. Pemimpin-pemimpin Parti komponen BN yang lain (terutamanya MCA, Gerakan, SUPP dan MIC) sanggup menjadi pengikut dan bersekongkol dengan pemerintahan hegemoni UMNO dan bermusuhan dengan rakyat.

(4) Rakyat jelata telah menyedari bahawa, bila tibanya masa yang sesuai, kita mesti menghalau golongan hegemoni yang telah memerintah sepanjang 54 tahun ini keluar dari arena politik, barulah rakyat mempunyai harapan untuk hidup dengan lebih baik.

2. Rakyat Sedar Bahawa Helah Dan Ugutan Perkauman UMNO Akan Ditumpaskan Dengan Perjuangan Berani

Setiap kali rakyat bangkit menyuarakan tuntutan, golongan pemerintah, tidak kira Perikatan atau BN, pasti akan balas dengan ugutan politik yang penuh dengan fahaman perkauman melampau, iaitu mengancam dan menakutkan rakyat dengan isu-isu palsu ciptaan mereka. Tindakan pemerintah tersebut sudah menjadi tabiat mereka yang tidak pernah dilepaskan. Kepada rakyat, ini adalah perbuatan zalim yang biasa.

Pada bulan September 2000, Perdana Menteri masa itu, Mahathir mengalami tekanan yang cukup kuat apabila berdepan dengan "Suqiu" iaitu "Rayuan Pilihan Raya Persatuan-Persatuan Cina Malaysia". Mahathir telah panggil satu pertemuan dengan barisan pimpinan "Suqiu" yang diketuai oleh Quek Suan Hiang, iaitu pengerusi Dong Jiao Zong (Gabungan Persekutuan Pertubuhan Lembaga Sekolah-Sekolah Cina dan Persatuan Guru-Guru Sekolah Cina Malaysia Malaysia). Dalam perjumpaan tersebut, Mahathir mengugut dan menakut-nakutkan mereka agar mereka berkompromi. Ini adalah perbuatan buruk siku balasan pimpinan BN terhadap Jawatankuasa "Suqiu" selepas menang dalam Pilihan Raya Umum tahun 1999. (Sebelum pilihanraya tahun 1999, BN telah bersetuju dengan tuntutan rayuan tersebut untuk memancing undi masyarakat Cina.)

Pada masa yang sama, Mahathir melalui pimpinan MCA dan Gerakan giat menyebarkan mesej ugutan kepada anggota Jawatankuasa Rayuan "Suqiu" dan pimpinan pertubuhan Cina yang lain-lain bahawa "Sekiranya rayuan 'Suqiu' tidak diketepikan oleh Jawatankuasa rayuan 'Suqiu' itu, pertempuran antara kaum pasti akan berlaku".

Di samping itu, Pemuda UMNO beramai-beramai berulangkali meneriak "Bakarkan Dewan Perhimpunan Cina Selangor", "Orang Cina Balik Tong San" dan sebagainya, dengan liar sekali. Golongan pemerintah hegemoni UMNO yang diketuai oleh Mahathir telah menakut-nakutkan seluruh masyarakat melalui propaganda "Rayuan 'Suqiu' menghakis hak istimewa Kaum Melayu", "Rayuan 'Suqiu' menimbulkan huru-hara masyarakat" dan sebagainya. Dengan itu, mereka berjaya menumpaskan gerakan rayuan 'Suqiu' yang dilancarkan oleh pertubuhan-pertubuhan Cina seluruh negara.

Ketua Pemuda UMNO merangkap Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan pada tahun 1987, Najib Razak (Perdana Menteri sekarang) telah memberi ucapan beremosi yang berbau perkauman di hadapan kain rentang yang berbunyi "BASAHKAN KERIS DENGAN DARAH CINA" (lihat laporan berita Merdeka Review dalam Bahasa Cina di http://www.merdekareview.com/news.php?n=9969) dalam satu perhimpunan ramai dihadiri oleh hampir 10 ribu orang Melayu yang dipanggil oleh Najib sendiri selaku Ketua Pemuda UMNO dalam kehangatan isu guru yang tidak erti Bahasa Mandarin dilantik untuk memegang jawatan tinggi di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (Cina).

Najib menafikan bahawa dia pernah membuat kenyataan "BASAHKAN KERIS DENGAN DARAH CINA" yang berbaur hasutan ini, tetapi secara terbuka, Najib telah memberi sokongan kepada seruan Ketua Menteri Melaka, Ali Rustam yang menggalakkan ahli-ahli Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (PESAKA) yang kononnya dianggotai oleh 4 juta ahli supaya menyertai perarakan kumpulan Patriot yang dipimpin oleh Pemuda UMNO demi mempertahankan istana negara apabila BERSIH 2.0 mengumumkan secara rasmi "Perhimpunan 709 akan diadakan di Stadium Merdeka".

Najib mempergunakan jentera Negara (terutamanya institusi keganasan dan media massa yang dimiliki atau dikawal oleh karajaan) dan pertubuhan di bawah naungan kerajaan seperti PERKASA untuk menakut-nakutkan rakyat berbilang kaum agar menjauhkan dari BERSIH 2.0 dan gerakan reformasi pilihanraya yang dipimpin oleh BERSIH 2.0. Akan tetapi, plot Najib nyata tidak membawa hasil.

"Perarakan Tunjuk Perasaan 709" telah menunjukkan: rakyat jelata sudah sedar bahawa sekiranya rakyat jelata berani berjuang, ugutan perkauman UMNO akan menerima tamparan hebat. Ugutan perkauman yang dilancarkan oleh golongan pemerintah hegemoni UMNO dalam kejadian 709 menimpa maut apabila berdepan dengan kepimpinan BERSIH 2.0 yang unggul dan tindakan massa yang tegas.

3. "Perarakan Tunjuk Perasaan 709" Mempertingkatkan Kesedaran Massa dan Memajukan Kerjasama dan Perpaduan Pelbagai Kaum

"Perarakan Tunjuk Perasaan 709" merupakan perjuangan massa dalam menuntut demokrasi dan hak asasi manusia yang mencatat saiz penglibatan rakyat terbesar sejak negara kita merdeka pada 54 tahun yang lepas. Penyertaan orang ramai yang terdiri daripada pelbagai kaum (terutamanya tiga kaum majoriti, iaitu Melayu, Cina dan India dan juga sebilangan kecil kaum Iban dan Kadazan) dan pelbagai lapisan masyarakat (antaranya buruh, petani, penjaja, pakar pelbagai bidang, peniaga, pengajar dan penuntut institusi pengajian tinggi, tokoh bidang seni dan sastera, tokoh politik dan parti politik, pesara dan sebagainya) serta berbagai-bagai penganut agama dan kepercayaan (majoritinya penganut Islam, Hindu, Kristian, Buddha dan kepercayaan masyarakat yang lain-lain) dijangka melebihi 50 ribu orang.

Menjelang tengahari hari 9 Julai, orang ramai mula menyertai kumpulan perarakan dari semua arah. Kumpulan perarakan yang begitu besar ini menuju ke tempat perhimpunan, iaitu Stadium Merdeka, dengan aman dan berdisiplin. Sepanjangan perjalanan, peserta menyampaikan hasrat umum rakyat berbilang kaum dalam menuntut reformasi pilihanraya dengan jelas melalui laungan lantang slogan "HIDUP BERSIH!", "HIDUP REFORMASI!", "HIDUP RAKYAT!" dan sebagainya.

Ada di kalangan peserta yang memakai kemeja-T berwarna kuning, dicetak dengan perkataan "BERSIH 2.0" dan ada yang mengikatkan kain berwarna kuning, dicetak dengan perkataan "BERSIH 2.0" di kepala. Ada juga peserta memegang bendera negara yang pelbagai saiz. Barangan lain tidak kelihatan, termasuk kain rentang yang biasanya dijadikan lengkapan asas perarakan juga jarang kelihatan.

Golongan pemerintah hegemoni UMNO menganggap kumpulan perarakan yang aman sebegini sebagai "perusuh dan pengganas". Pasukan FRU yang serba lengkap digerakkan untuk "melanyani" peserta perarakan secara kejam dengan bantuan Water Canon dan gas pemedih mata yang kuat.

Seramai 1,667 orang telah ditahan, termasuk pemimpin-pemimpin BERSIH 2.0 seperti Ambiga selaku pengerusi BERSIH 2.0, dan juga pemimpin-pemimpin parti pembangkang Parlimen. Bilangan orang yang ditahan dalam kejadian ini mencatatkan rekod tertinggi (dalam satu operasi) dalam sejarah negara kita. Tindakan penindasan dan penahanan secara besar-besaran tersebut menimbulkan kemarahan massa dan kritikan pendapat umum masyarakat yang meluas. Oleh itu, pihak polis terpaksa melepaskan kesemua 1,667 orang yang ditahan itu dalam tempoh 24 jam selepas ditahan sekaligus mencatat rekod paling memalukan dalam sejarah operasi polis.

Harus dinyatakan di sini bahawa salah seorang peserta yang bernama Baharuddin Ahmad telah meninggal dunia selepas jatuh pengsan dalam perarakan kerana tidak tertahan tindakan kejam polis dan serangan gas pemedih mata.

Untuk mengejar dan menyuraikan peserta-peserta perarakan, yang mencari perlindungan di kawasan Hospital Tung Shin dan Hospital Bersalin dihadapan Puduraya selepas dihalau oleh polis, FRU melepaskan air bertekanan tinggi dan gas pemedih mata ke kawasan hospital tersebut tanpa mempertimbangkan keselamatan pesakit, ibu yang mengandung dan bayi.

Tindakan penindasan yang begitu kejam ini telah menimbulkan kemarahan yang hebat di kalangan masyarakat umum, dan dikritik habis-habisan dilaman web. Atas desakan tersebut, Liow Tiong Lai selaku Menteri Kesihatan terpaksa tergesa-gesa mengaturkan satu kenyataan terbuka Lembaga Pengarah Hospital Tung Shin yang mengisytiharkan "Hospital Tung Shin dan pesakitnya tidak dibidik gas pemedih" dengan harapan dapat melepaskan kerajaan dan pihak polis daripada bertanggungjawab ke atas tindakan mereka. Liow Tiong Lai mempertahankan tindakan kejam FRU dengan kata-kata berikut, "pihak polis masuk ke dalam hospital untuk membawa pendemonstrasi yang cedera ringan untuk mendapatkan rawatan!".

Liow Tiong Lai lagi "mengarut" tanpa rasa malu bahawa, "peristiwa seperti ini boleh dielakkan sekiranya perhimpunan haram BERSIH tidak dijalankan." Siapa yang akan percaya dengan "percakapan bohong" ini? Pada 13 Julai, 11 orang doktor (antaranya terdiri daripada doktor yang berkhidmat di Hospital Tung Shin dan Hospital Bersalin), membuat kesaksian bersama yang mengaku telah menyaksikan insiden tersebut dengan mata sendiri.

Begitu ramai peserta yang menyaksikan FRU melepaskan air bertekanan tinggi dan gas pemedih mata ke arah hospital telah memuat naik gambar dan catatan kejadian ke laman web. Kesemua catatan, kesaksian dan gambar tersebut telah menjadi "bukti" dan "aduan" yang mustahil diputar belit atau dibasmi oleh Liow Tiong Lai, atau sesiapapun (termasuk Chua Soi Lek, pengerusi MCA yang cuba berdalih untuk menolong Liow). Biarlah pertubuhan dan individu (terutamanya Liow Tiong Lai, Chua Soi Lek dan sebagainya) yang memutar belitkan fakta demi melepaskan tanggungjawab kerajaan dan polis, membalas dan menjawab satu demi satu bukti-bukti dan aduan-aduan yang tidak dapat dinafikan itu!

Orang ramai telah menyaksikan atau mengalami sendiri semangat "kita adalah sekeluarga" dalam Perarakan Tunjuk Perasaan kali ini. Semangat tidak ternilai ini telah ditunjukkan dengan sepenuhnya oleh kesemua peserta dalam Perarakan Tunjuk Perasaan ini terutamanya semasa orang ramai mengalami tindakan ganas FRU.

Orang ramai tidak kira Melayu, India, Cina ibarat yang berat sama dipikul,yang ringan sama dijinjing, telah saling memberi sokongan dan galakan, membantu satu sama lain, agar tegas menyempurnakan tindakan menyuarakan tuntutan pada hari itu. Dalam perarakan ini, massa telah mengalami latihan yang menyentuh hati. Perarakan ini juga adalah proses pendidikan yang mempertingkatkan kesedaran rakyat berbilang kaum. Latihan dan didikan ini pasti akan menjadi asas kebendaan dan spiritual yang kukuh kepada perjuangan menuntut demokrasi dan hak asasi manusia, yang lebih besar atau lebih sengit pada masa akan datang.

Oleh demikian, "Perarakan Tunjuk Perasaan 709" pasti akan memberi pengaruh yang mendalam dan berpanjangan dalam mempertingkatkan kesedaran massa dan memperkuatkan perpaduan dan kerjasama di antara kaum Melayu - Cina - India dan kaum-kaum lain.

4. Perarakan Tunjuk Perasaan 709 Menggalakkan Perkembangan Gerakan NGO ke arah yang betul


Dalam proses mengerakkan "perhimpunan dan perarakan demokrasi 709" sehingga tercetusnya "Perarakan Tunjuk Perasaan 709", kepimpinan cemerlang Ambiga, pengerusi BERSIH 2.0, dan pemimpin-pemimpin lain telah meraih kepercayaan penuh massa dan mendapat sokongan meluas rakyat berbilang kaum. Seterusnya membolehkan Perarakan Tunjuk Perasaan kali ini memainkan peranan yang penting dan pengaruh yang meluas, sekaligus dapat mendalamkan perkembangan refomasi pilihanraya dan gerakan demokrasi dan hak sivil. Dengan kebijaksanaan kepimpinan dan ketegasan perjuangan yang ditunjukkan, kepimpinan Ambiga kini menjadi role model dalam gerakan NGO.

BERSIH 2.0 merupakan gabungan yang dibentuk oleh 62 badan bukan kerajaan (NGO) (atau selalu dikenali sebagai "kumpulan masyarakat sivil/madani") yang sah di Malaysia, yang bertujuan memperjuangkan pilihanraya yang bersih dan adil. BERSIH 2.0 bukan satu parti politik dan bukan di bawah naungan mana-mana parti politik.

BERSIH 2.0 wujud dengan tujuan memperjuangkan hasrat rakyat yang menuntut pilihanraya yang bersih dan adil. Ia bukan wujud untuk membantu mana-mana parti politik memenangi pilihanraya atau memenangi kuasa pemerintahan. Oleh itu, BERSIH 2.0 tidak dikuasai dan tidak menerima arahan daripada mana-mana parti politik atau pemimpin parti politik.

Maka, kenyataan dan kelakuan Ambiga dan pemimpin-pemimpin lain BERSIH 2.0 dalam usaha memperjuangkan pilihanraya yang bersih dan adil, sudah tentu berdasarkan kepentingan rakyat pelbagai kaum, pandangan bersama pertubuhan-pertubuhan masyarakat madani dan keputusan muktamad jawatankuasa pemacu BERSIH 2.0. Kedudukan bebas dan otonomi BERSIH 2.0 sebagai pertubuhan bukan kerajaan harus dipegang setiap masa.

Pendirian non-partisan yang berdasarkan kepentingan rakyat ini, bukan sahaja mudah memberi keyakinan dan diterima oleh rakyat pelbagai kaum dan lapisan, ia juga tidak bermasalah untuk membentuk persefahaman dan toleransi dengan pelbagai parti politik dan pelbagai agama. Oleh itu, himpunan 709 untuk mengutarakan 8 tuntutan refomasi pilihanraya berubah menjadi "Perarakan Tunjuk Perasaan 709".

Ini merupakan hasil daripada pendirian dan pandangan BERSIH 2.0 yang mendokong aspirasi dan mengutamakan kepentingan rakyat berbilang kaum pelbagai lapisan, dan yang selaras dengan harapan dan kepentingan parti-parti politik dan pelbagai agama. Ia juga adalah hasil daripada sokongan rakyat berbilang kaum dari pelbagai lapisan, parti-parti politik dan agama-agama. "Hasil" ini dimiliki oleh semua dan harus dikongsi oleh pelbagai pihak.

Tujuan BERSIH 2.0 untuk menuntut pilihanraya yang bersih dan adil sudah jelas dinyatakan, dan pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM) Chin Peng telah mengisthiharkan "Kami(PKM) telah bersumpah taat setia kepada Yang Dipertuan Agong", "Kami(PKM) telah bersetuju meninggalkan keganasan, perjuangan bersenjata dan segala-galanya" dalam kenyataan 10 poinnya pada 4 Mac 2005, (Sebelum ini, PKM telah menandatangani 'Perjanjian Damai Hatyai' dengan kerajaan Malaysia pada tahun 1989, dan telah meletakkan dan menghapuskan segala senjata serta membubarkan pasukan tenteranya).

Akan tetapi, Kementerian Dalam Negeri (KDN) masih mempergunakan satu kempen roadshow selama 3 hari (dari 24 Jun hingga 26 Jun), yang bertema "Udahlah tu…Bersaralah!(BN)" yang dianjurkan oleh Parti Sosialis Malaysia (PSM). KDN sengaja menyamakan dan cuba mengelirukan kempen anjuran PSM ini dengan gerakan refomasi pilihanraya BERSIH 2.0, agar orang ramai salah anggap bahawa BERSIH 2.0 turut bermotif "tamatkan pemerintahan BN sekarang juga" seperti PSM.

Pihak polis telah menahan Ahli Parlimen Sungai Siput, Michael Jeyakumar Devaraj, dan 5 orang pemimpin PSM lain dibawah Ordinan Darurat (EO). Pihak polis mendakwa meraka (PSM) berniat untuk "memerangi Yang di-Pertuan Agong" dan "menghidupkan semula fahaman komunis" dengan hanya berdasarkan beberapa helai kemeja-T warna merah yang bertulis nama pemimpin-pemimpin PKM(Chin Peng dan Rashid Maidin). Ini amat lucu dan tidak masuk akal.

Insiden diatas sudah tentu telah memberi tamparan hebat kepada PSM. Pada masa yang sama, ia juga telah memburukkan nama BERSIH 2.0 dan gerakan refomasi pilihanraya. Keadaan ini ternyata telah membawa kesan buruk kepada BERSIH 2.0 dan gerakan refomasi pilihanraya.

Laungan lantang slogan "Bersih, Bersih! Hidup Bersih!" dalam "Perarakan Tunjuk Perasaan 709" jelas membayangkan aspirasi rakyat menuntut refomasi pilihanraya dan menuntut pilihanraya yang bersih dan adil. Dalam "Perarakan Tunjuk Perasaan 709", tiada banner dan bendera parti politik, nama dan slogan parti politik juga tidak kedengaran. "Perarakan Tunjuk Perasaan 709" direstui oleh rakyat pelbagai lapisan dan kaum. Ia adalah satu aksi yang matang dan berjaya.

Pendek kata, "Perarakan Tunjuk Perasaan 709" pasti akan mempegaruhi perkembangan gerakan pertubuhan bukan kerajaan(NGO) dalam negara kita menuju kearah yang betul.

*Kenyataan (Ketiga) Jawatankuasa Kerja Sahabat SUARAM (FOS) Johor

Tiada ulasan: