Selasa, 26 Julai 2011

Majlis Perundingan Media, satu lagi lapisan kawalan

Harakahdaily


KUALA LUMPUR: Langkah kerajaan memperkenalkan Majlis Perundingan Media (MPM) ditolak oleh Pusat Kewartawanan Bebas - CIJ - dan menyifatkan ianya sebagai satu lagi lapisan yang cuba mengawal media di negara ini.

Sehubungan itu, mereka menamakan badan ini sebagai 'Majlis Propaganda Media'.

"Cadangan penubuhan majlis perundingan media tidak akan mengusahakan agar media dibebaskan, beretika dan telus tetapi akan membuat media kita berundur ke belakang.

"Jika rujukan dan termanya dikekalkan, ia lebih sesuai dinamakan Majlis Propanda Media," kata Masjaliza Hamzah, Pegawai Eksekutif CIJ.

Semalam, beberapa editor kanan media tradisional juga menolak cadangan ini apabila mesyuarat pertama mengenainya diadakan tanpa mendapat sambutan dari media tradisional sendiri.

Seorang daripadanya, Datuk Nuraina Samad berkata beliau serta beberapa orang pengarang lain membantah cadangan berkenaan kerana ia dilihat sebagai satu lagi bentuk kawalan ke atas akhbar.

"Mereka kata ianya majlis perundingan tapi sebenarnya majlis ini hanyalah satu lagi bentuk kawalan," kata editor pengurusan dan penulis blog itu.

Media hari ini sudah terlalu sendat dengan soal kewibawaan dan undang-undang sedia ada seperti Akta Penerbitan dan Mesin Cetak yang mengawalnya, katanya sebagaimana dilaporkan Malaysiakini.

"Walaupun kebebasan media diletakkan sebagai salah satu objektifnya, ini satu lip servis sahaja kerana ia hanya bergerak dalam kerangka undang-undang yang ada bukannya untuk kepentingan media," kata Masjaliza.

Antara undang-undang yang mengekang kebebasan media di negara ini adalah Akta Mesin Cetak dan Penerbitan, Akta Keselamatan Dalam Negeri, dan Akta Komunikasi dan Multimedia.

Bagi beliau, walaupun kerajaan mengharapkan majlis ini menjalinkan hubungan baik antara kerajaan dengan media, namun kehadiran undang-undang mesin cetak misalnya akan terus menjadikannya alat kerajaan mengugut media.

"Selagi undang-undang itu masih ada, sebarang forum atau majlis yang melibatkan kerajaan tidak akan adil kerana semuanya akan datang dari kerajaan. Kerajaan juga selalu mengawalnya melalui panggilan telefon, surat tunjuk sebab atau memanggil editor ke Kementerian Dalam Negeri untuk berbual," katanya lagi.

Cadangan kerajaan agar Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan di samping Menteri Dalam Negeri menjadi pengerusi bersama di samping ketua setiausaha masing-masing menjadi timbalan pengerusi membuktikan keinginan kerajaan untuk kekal berkuasa.

"Jika kerajaan yang ada serius dalam membebaskan media, undang-undang yang mengongkong ini harus dibubarkan dan biarkan media mengawal diri mereka sendiri dengan panduan dari masyarakat untuk kepentingan umum," tambah Majliza.

Selain dari itu, bagi memastikan media mendapat maklumat yang adil dan tepat, kerajaan sepatutnya mewujudkan suasana yang telus dan baik dipihaknya.

Kerajaan juga, katanya, hendaklah sentiasa bersedia untuk memberikan maklumat kepada media bukannya sentiasa menjadikan ianya rahsia kerajaan.

Tiada ulasan: