Sabtu, 2 Julai 2011

Lo’Lo: Peluang terbaik bagi Putrajaya gugur akta Kg Baru


KUALA LUMPUR — Ahli Parlimen Titiwangsa Dr Lo’lo’ Mohd Ghazali mahu Putrajaya menarik balik Rang Undang-undang Perbadanan Kampong Baru 2010 daripada terus dibawa ke Parlimen selepas ia gagal dibahaskan pada sesi Dewan Rakyat yang berakhir semalam.

Rang undang-undang itu sepatutnya dibacakan kali kedua dan ketiga tetapi tidak menjadi kenyataan kerana urusan referendum tidak mendapatkan sambutan sepenuhnya.

Sehubungan itu kata beliau (gambar), Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar perlu kembali mengadakan perbincangan dan dialog dengan para pemilik tanah Kampung Baru dalam setiap usaha kerajaan membangunkan kawasan eksklusif orang Melayu itu.

“Kementerian juga perlu mendapatkan persetujuan semua pemilik dan pewaris tanah dan yang lebih penting mendapatkan persetujuan Lembaga Pentadbiran MAS berkaitan pembangunan Kampung Baru,” kata beliau.

“Selaku Ahli Parlimen Titiwangsa, saya ingin menyatakan bahawa pemilik dan perwaris tanah Kampung Baru bersyukur dan lega kerana Rang Undang-undang Perbadanan Kampong Baru 2010 tidak sempat dibentangkan dalam sesi Parlimen yang baru selesai,” katanya lagi.

Kata Dr Lo’Lo, Lembaga Pentadbiran MAS yang telah wujud sejak 1900 perlu diberikan keutamaan berbanding Badan-Badan Bukan Kerajaan yang tiada mandat rasmi daripada pemilik dan pewaris tanah Kampug Baru.

Katanya, Ahli Parlimen yang diberikan mandat secara sah melalui pilihan raya juga sepatutnya dilibatkan aktif bermula daripada peringkat perangkaan lagi untuk memastikan penyelesaian yang terbaik dan adil, terutamanya kepada pemilik dan perwaris tanah Kampug Baru.

“Kementerian juga boleh melakukan apa-apa pembangunan melalui Lembaga Pentadbiran MAS yang sememangnya mempunyai kuasa yang sah dalam mentadbir tanah Kampug Baru.

“Jika pembangunan Kampung Baru memerlukan suatu akta Parlimen, maka pihak kementerian perlu ikhlas dan telus untuk mendapatkan persetujuan pemilik tanah sebelum mengemukakan rang undang-undang yang baru,” katanya.

Kata wakil rakyat PAS itu beliau sangat berharap pihak kementerian dapat merealisasikan slogan yang dilaung-laungkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkenaan dengan era “kerajaan sahaja tahu yang terbaik” telah berakhir.

Tiada ulasan: