Rabu, 13 Julai 2011

Liwat II: Anwar saksi pembelaan pertama

MALAYSIA KINI


Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menetapkan 8 hingga 26 Ogos depan bagi mendengar perbicaraan Datuk Seri Anwar Ibrahim membela dirinya.

Tarikh itu ditetapkan olehh Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah, selepas kes itu dibawa untuk sebutan hari ini.

NONESebelum prosiding bermula, peguam Anwar dan pihak pendakwa bertemu dua kali dengan Hakim Mohamad Zabidin di kamarnya.

Anwar yang hadir memakai pemaut leher akibat kecederaan ketika menghadiri perhimpunan BERSIH 2.0 pada Sabtu lalu akan menjadi orang pertama memberi keterangan apabila perbicaraan bermula 8 Ogos ini.

Semasa kes itu disebut hari ini, Anwar diwakili peguam Karpal Singh manakala Peguam Cara Negara II, Datuk Mohamed Yusof Zainal Abiden, mengetuai pasukan pendakwaan.

Di luar mahkamah, seorang lagi peguam Anwar, SN Nair, memberitahu pemberita bahawa mengikut Kanun Acara Jenayah, tertuduh adalah saksi pertama yang akan memberi keterangan dalam kes pembelaan.

Katanya pasukan pembelaan berharap untuk menyoal 25 saksi termasuk Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, isterinya Datin Seri Rosmah Mansor dan bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan sebelum perbicaraan bermula.

azlanSetakat ini mereka telah menemubual lima saksi terdiri bekas ratu pecut negara Datuk Mumtaz Jaafar, bekas pegawai perubatan Pusat Rawatan Islam (Pusrawi), Dr Mohd Osman Abdul Hamid, adik perempuan pengadu Mohd Saiful Bukhari Azlan, Saidaiti Azlan, seorang doktor dari Hospital Kuala Lumpur dikenali Dr Daniel, dan pembantu khas Najib ketika beliau menjadi Timbalan Perdana Menteri, Khairil Anaz Yusof.

Nair berkata beliau akan mengemukakan permohonan minggu ini bagi mendapatkan perintah mahkamah supaya pihak pendakwaan membawa saksi-saksi ke mahkamah untuk ditemubual.

Pada 16 Mei, Hakim Mohamad Zabidin memerintahkan Anwar supaya membela diri selepas mendapati bahawa Mohd Saiful Bukhari Azlan adalah seorang saksi yang bercakap benar dan berwibawa.

Pihak pendakwaan telah menawarkan 71 saksi tetapi pasukan pembelaan hanya mahu menyoal 25 daripada mereka.

Anwar mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen pada 7 Ogos 2008 terhadap pertuduhan meliwat Mohd Saiful Bukhari di Kondominium Desa Damansara di Bukit Damansara antara 3.10 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun tahun yang sama.

Tuduhan itu dikemukakan di bawah seksyen 377B Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara hingga 20 tahun dan sebat.

Tiada ulasan: