Selasa, 5 Julai 2011

L Ramlee gembira buat persembahan di Kelantan

Salmah Mat Husain


KOTA BHARU: Artis terkenal di zaman 60-an, L.Ramlee melahirkan rasa gembira kerana diberi peluang membuat persembahan di negeri Kelantan.

Sebelum menyampaikan beberapa buah lagu hitsnya, beliau tidak menyangka rakyat Kelantan khususnya masih meminati beliau yang popular di zaman 60-an.

“Terima kasih banyak-banyak pada kerajaan negeri kerana sudi menjemput saya menghiburkan tuan-tuan di sini,” ujarnya.

L.Ramlee yang terkenal dengan lagu Dara Pujaan diundang khas untuk membuat persembahan sempena majlis penutup Pesta Nasi 100 sempena majlis Karnival Seni Budaya Kelantan 2011, di perkarangan Stadium Sultan Muhammad Ke-1V malam tadi.

Turut menyaksikan persembahan yang masih bertenaga itu anggota exco kerajaan negeri, Datuk Takiyuddin Hassan, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Zainuddin Ibrahim, ketua-ketua jajahan, pegawai kanan kerajaan negeri.

L. Ramlee memulakan persembahan dengan membawa lagu Siapa Bilang Aku Tak Sayang, Joget Berbaju Kurung, Dengarlah Rayuanku, Hidup Bersama, Ayahku Kahwin Lagi dan Dara Pujaan.

Pelawak terkenal Kelantan, Pok Ya yang pernah berganding dengan Wak Sir, turut mendendangkan sebuah lagu Kisah Dan Tauladan.

Pengarah Perhubungan Awam MPKB-BRI, Azman Mohd Daham berjaya menarik perhatian penonton apabila berjaya menonjolkan bakat terpendamnya dengan menyampaikan sebuah lagu Boyan, La O Be.

Sempena majlis ini juga diadakan Battle of The Jogho bagi mencari jogho diantara jogho dikir barat di Kelantan.

Namun tiada siapa yang berjaya dicungkil dari nama-nama besar pendikir Kelantan apabila hanya dua peserta sahaja yang bertanding iaitu Megat Nordin dan Setapo Merak Mas.

Begitu juga kategori tukang karut, hanya tiga peserta sahaja yang mengambil bahagian, iaitu Jen Endoroo, Pok Nik Loh Tok Deh dan Tuan Kob Raja Saring.

Kesemua mereka menerima hadiah berupa wang tunai dan sijil penyertaan yang disampaikan oleh Datuk Dr Zainuddin.

Tiada ulasan: