Jumaat, 15 Julai 2011

Kim Quek: Hakim berat sebelah

Permohonan beliau bagi mengisytiharkan rampasan dan seterusnya pengharaman bukunya sebagai tidak sah dan terbatal telah ditolak oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.



PETALING JAYA: Pengarang buku “The March to Putrajaya” yang diharamkan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) mendakwa hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membuat penghakiman yang berat sebelah.

Kim Quek, 72, atau nama sebenar beliau Yong Thye Chong berkata, beliau= (hakim Rohana Yusof) membuat keputusan yang berat sebelah kerana mengenepikan hujah yang dikemukakan oleh peguamnya sama sekali.

“Ini merupakan satu penghakiman yang salah dan cacat dan saya amat kecewa dengan keputusan ini,” ujar beliau dalam satu kenyataan media.

Permohonan beliau bagi mengisytiharkan rampasan dan seterusnya pengharaman bukunya sebagai tidak sah dan terbatal telah ditolak oleh mahkamah tersebut hari ini.

Ujar beliau, “penghakiman ini memberi isyarat bahawa tidak dapat dinafikan terdapat tangan-tangan politik yang mencengkam sistem kehakiman yang mahu keputusan itu memihak kepada mereka.

“Ini bermakna rakyat Malaysia akan terus dinafikan hak asasi mereka yang dijamin di bawah Bahagian Dua Perlembagaan Persekutuan, termasuk kebebasan bersuara, melalui salah guna kuasa Eksekutif, yang dilindungi oleh sistem kehakiman yang patuh kepada arahan mereka,” jelas beliau.

Salah guna kuasa Eksekutif

Ironinya kata beliau, institusi kehakiman yang diamanahkan oleh Perlembagaan Persekutuan untuk memelihara hak rakyat dari campur ntangan Eksekutif, telah memainkan peranan yang sebaliknya, sebagai pelindung mutlak kepada Eksekutif yang menyalahguna kuasa dengan memijak-mijak hak asasi rakyat.

Beliau berkata, “adalah jelas sekarang ini, kita tidak boleh mengharapkan institusi-institusi yang ada, termasuk kehakiman, untuk menjaga kepentingan rakyat dan untuk memastikan rakyat benar-benar menikmati kebebasan yang dijamin oleh Perlembagaan.

“Keadaan ini mendesak kita untuk berusaha membuat perubahan yang drastik iaitu melalui pertukaran kepimpinan negara,” tegas beliau.

Menurut beliau, penghakiman yang dibuat hari ini juga menolak permohonan pelukis Zunar untuk membatalkan pengharaman ke atas dua bukunya dalam satu penghakiman yang sama.

“Kami berdua bertekad untuk terus berjuang dalam sudut perundangan sehingga akhir walaupun peluang yang ada untuk mendapat keadilan terlalu tipis.

“Usaha kami merupakan sebahagian dari gerakan politik yang lebih besar bertujuan untuk mencari kehidupan baru di negara ini, buat diri kita sendiri dan juga generasi yang akan datang,” tambahnya.

Mahkamah Tinggi hari ini menolak rayuan tanpa sebarang kos kartunis politik Zunar, portal berita MalaysiaKini dan penulis Kim Quek mencabar KDN yang telah mengharamkan penerbitan karya mereka.

Zunar, 49, atau nama sebenarnya Zulkiflee Anwar Ulhaque dan MalaysiaKini masing-masing mewakili buku kompilasi karya kartun yang diharamkan KDN iaitu “1 Funny Malaysia” dan “Perak Darul Kartun.”

Manakala buku ‘March to Putrajaya: Malaysia’s New Era is At Hand’ karya Kim Quek, di bawah penerbitan Oriengroup Sdn Bhd turut diharamkan dan 33 buah salinan buku tersebut dirampas.

Tiada ulasan: